Skip to main content

Malaysia

Hampir 1,000 komuniti setempat sertai Program Sentuhan Kasih UKM@Johor

Sumber: UKM
Penglibatan mahasiswa dalam program seperti itu memberi peluang kepada mereka memperoleh pengalaman berinteraksi dengan masyarakat di luar persekitaran kampus. - Gambar UKM

KUALA LUMPUR: Hampir 1,000 komuniti setempat menyertai Program Sentuhan Kasih UKM@Johor anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) bagi mengeratkan hubungan antara universiti dan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

UKM dalam kenyataan memaklumkan. program dua hari bermula Sabtu lepas bertemakan “Dari Kampus ke Komuniti, Menyebar Kasih dan Bakti” diadakan di Kota Masai, Pasir Gudang serta Kampung Baru Sri Aman dan Rangkaian di Skudai, Johor dengan penyertaan 78 warga UKM.

Pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk gotong-royong, ziarah kasih, saringan minda sihat dan sukan bersama-sama komuniti selain diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang turut menyantuni komuniti setempat.

Pengarah HEP-UKM merangkap Pengerusi Program Sentuhan Kasih UKM@Johor, Profesor Madya Dr Darfizzi Derawi berkata, penglibatan mahasiswa dalam program seperti itu memberi peluang kepada mereka memperoleh pengalaman berinteraksi dengan masyarakat di luar persekitaran kampus.

“Universiti tidak sepatutnya hanya berada dalam lingkungan kampus. Kita perlu turun padang dan mendekati masyarakat. Apabila bergaul dengan komuniti luar, kita belajar menyesuaikan diri, berkomunikasi dengan lebih baik serta meningkatkan kemahiran insaniah yang sukar diperoleh hanya melalui kuliah,” katanya.

Beliau berkata, Program Sentuhan Kasih itu akan diteruskan di negeri lain dari semasa ke semasa sebagai usaha memperluas jaringan komuniti universiti.

Sementara itu, Ketua Komuniti Zon Kota Delima, Herman Ismadi Ismail berkata, program itu memberi peluang kepada penduduk mengenali UKM dengan lebih dekat serta mengetahui pelbagai peluang dan inisiatif yang ditawarkan universiti.

Delima berkata, walaupun kira-kira 80 peratus penduduk di kawasan itu warga industri yang bekerja pada hujung minggu, sambutan tetap menggalakkan apabila komuniti hadir dan memberikan kerjasama yang baik.

Dalam program sama, UKM turut menyantuni tujuh keluarga mahasiswa di sekitar Tiram dan Puteri Wangsa, Johor.

Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Sufian Jusoh berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan tiada mahasiswa tercicir daripada mendapat sokongan kebajikan sepanjang tempoh pengajian.

“UKM bukan sahaja melahirkan graduan cemerlang dari segi akademik malah memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi perhatian. Program seperti ini memperlihatkan nilai ihsan, kebersamaan dan tanggungjawab sosial yang menjadi teras budaya UKM dalam membangunkan modal insan yang holistik,” katanya.

Beliau berkata, sokongan kepada mahasiswa bukan sekadar bantuan kebendaan, sebaliknya pelaburan jangka panjang bagi memastikan mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih fokus, yakin dan berdaya saing.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement