Skip to main content

Malaysia

FAMA giat laksana pelan intervensi kurangkan impak lebihan bekalan durian

51650887588_DURIAN.jpg
FAMA giat melaksanakan Pelan Pemasaran dan Intervensi Buah-Buahan Bermusim 2026 bagi memastikan hasil pengeluaran durian tempatan dapat dipasarkan secara terancang sepanjang musim puncak pengeluaran dari Jun hingga Ogos. - Gambar hiasan

NIBONG TEBAL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) giat melaksanakan Pelan Pemasaran dan Intervensi Buah-Buahan Bermusim 2026 bagi memastikan hasil pengeluaran durian tempatan dapat dipasarkan secara terancang sepanjang musim puncak pengeluaran dari Jun hingga Ogos.

Pengarah FAMA Pulau Pinang, Mohd Hafiz Nurulhuda berkata, pelan itu bertujuan mengurangkan impak lebihan bekalan durian yang berlaku di beberapa negeri susulan peningkatan pengeluaran serta musim kemuncak yang berlaku serentak di negeri pengeluar utama seperti Pulau Pinang, Pahang dan Johor.

Beliau berkata, di Pulau Pinang pengeluaran durian meningkat kepada lebih 18,000 tan metrik tahun ini berbanding kira-kira 17,000 tan metrik pada tahun lepas.

“Memang tidak dinafikan berlaku sedikit lambakan durian, namun kesannya di Pulau Pinang tidak begitu ketara kerana hanya kira-kira 30 peratus pengeluaran terdiri daripada durian kampung. 

“Kita masih memberi tumpuan kepada durian klon dan premium, dan kalau kita tengok minggu ini pun harga Black Thorn dan Musang King masih kekal sekitar RM30 hingga RM40 sekilogram” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pesta Durian dan Pelancaran Road To MAHA Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di pekarangan Masjid Al-Rasyidin, di sini, pada Ahad.

Sementara itu, bagi menjamin pasaran kepada pengusaha durian Mohd Hafiz berkata, FAMA Pulau Pinang melaksanakan kaedah pembelian secara Forward Agreement dengan kira-kira 85 tan metrik urus niaga belian durian dilaksanakan menerusi mekanisme itu, disamping memastikan bekalan yang konsisten dan berkualiti kepada pengguna serta pembeli.

Menerusi kaedah itu, katanya, FAMA menawarkan harga lantai RM2.70 sekilogram bagi durian kampung manakala durian klon dan premium dibeli mengikut harga pasaran semasa.

“Kalau harga durian kampung turun di bawah RM2.70 sekilogram, FAMA akan membuat belian pada harga lantai, bagaimanapun minggu ini harga durian kampung di Pulau Pinang masih melebihi RM3 sekilogram,” katanya.

Selain itu, katanya, FAMA membangunkan dua Pusat Pengumpulan Sementara (PPS) di Balik Pulau dan Pasar Tani Seberang Jaya yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan, pengedaran dan jualan durian, dengan sebanyak 50 tan metrik berjaya dipasarkan melalui kemudahan itu sepanjang musim.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pusat Operasi FAMA Perai turut membekalkan sebanyak 310 tan metrik durian ke outlet pemasaran FAMA termasuk Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) Permatang Pauh, selain membuka pasaran baharu di Lembah Klang menerusi jualan terus sebanyak 10 tan metrik durian.

Selain memperkukuh aspek pemasaran, Mohd Hafiz berkata, FAMA Pulau Pinang turut melaksanakan projek agropelancongan di dua lokasi bagi menyokong pembangunan usahawan durian di negeri ini, yang merekodkan jualan sebanyak 180 tan metrik sepanjang Jun tahun ini.

Katanya FAMA turut menaik taraf kebun usahawan termasuk menyediakan gazebo, menambah baik laluan masuk serta kemudahan jualan bagi meningkatkan pengalaman pengunjung dan membantu usahawan memenuhi permintaan pelanggan.

Beliau berkata, pendekatan bersepadu yang menggabungkan pemasaran, pengukuhan rantaian bekalan dan agropelancongan itu dijangka terus memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi utama durian premium negara.

—BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement