KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga dekad dibincangkan sebagai agenda strategik serantau, pelaksanaan ASEAN Power Grid (APG) kini dilihat perlu bergerak daripada sekadar komitmen dasar kepada projek sebenar yang mampu memperkasa keselamatan tenaga, mempercepat integrasi tenaga boleh baharu dan menyokong pertumbuhan ekonomi ASEAN.
Perbincangan bertajuk “ASEAN Power Grid: From MoUs to Megawatts” menjadi antara platform penting di Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) bagi menghimpunkan pemain utama industri tenaga serantau untuk membincangkan langkah konkrit dalam mempercepat pelaksanaan rangkaian tenaga rentas sempadan yang telah lama dirancang.
Sesi dialog tersebut menghimpunkan pemimpin utiliti, penggubal dasar dan pakar industri bagi berkongsi cabaran, peluang serta keutamaan yang perlu diberi perhatian untuk memastikan visi APG dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi dan keselamatan tenaga yang nyata kepada negara-negara ASEAN.
Dialog berkenaan berlangsung sempena ETCon26 dan dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Pusat Tenaga ASEAN (ASEAN Centre for Energy - ACE), Datuk Abdul Razib Dawood.
Membuka perbincangan, Abdul Razib berkata, APG tidak lagi boleh dilihat sebagai aspirasi jangka panjang semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan yang mampu memberikan hasil nyata kepada negara anggota ASEAN.
Menurut beliau, pelbagai kerangka dasar dan institusi bagi menyokong APG telah diwujudkan termasuk pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) APG yang diperkukuh tahun lalu, namun cabaran utama kini adalah memastikan pelaksanaannya dapat direalisasikan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Grid Tenaga Nasional Berhad (TNB), Hasmarizal Hassan berkata pembangunan APG kini semakin relevan dalam usaha mempercepat integrasi tenaga boleh baharu di rantau ASEAN, selaras dengan sasaran peralihan tenaga yang sedang digerakkan oleh negara-negara anggota.
Menurut beliau, ASEAN mempunyai kelebihan sumber tenaga boleh baharu yang pelbagai termasuk hidro di Sarawak dan Laos serta tenaga angin di Vietnam yang boleh dimanfaatkan secara lebih efektif menerusi jaringan grid serantau.
“Sekarang adalah masa yang tepat untuk merealisasikan APG kerana kita melihat peluang yang sangat besar melalui perdagangan tenaga boleh baharu di peringkat serantau,” katanya pada sesi dialog tersebut sempena ETCon263 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, pada Khamis.
Beliau berkata TNB kini sedang meneliti lima projek kritikal APG termasuk projek sambungan Vietnam-Malaysia-Singapura (VMS) dan sambungan terus Sarawak-Semenanjung Malaysia yang berpotensi memperkukuh integrasi tenaga serantau pada masa hadapan.
Bagaimanapun, jelas beliau, setiap projek perlu melalui proses pembangunan yang teratur termasuk kajian kebolehlaksanaan menyeluruh bagi menilai aspek teknikal, daya maju komersial dan model perniagaan yang mampu memastikan projek dapat dilaksanakan secara mampan.
Hasmarizal turut menekankan bahawa pengalaman melalui projek Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapore Power Integration Project (LTMS-PIP) menunjukkan infrastruktur sedia ada boleh menjadi asas penting dalam mempercepatkan pelaksanaan APG yang lebih besar pada masa hadapan.
Pandangan tersebut turut disokong Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad, Datuk Sharbini Suhaili yang berpandangan pelaksanaan APG perlu dimulakan secara berperingkat melalui kerjasama dua hala yang mampu membina keyakinan serta rekod kejayaan sebelum diperluaskan ke peringkat serantau.
“Walaupun APG menerima sokongan yang kuat di peringkat serantau, realitinya pembangunan sambungan kabel dasar laut merentasi negara masih sangat kompleks dan mengambil masa yang panjang.
“Justeru itu, kita perlu melaksanakannya secara berfasa, membina kapasiti dan keupayaan melalui projek yang berjaya sebelum diperluaskan ke peringkat yang lebih besar,” ujarnya.
Beliau berkata Sarawak Energy telah memulakan pendekatan tersebut menerusi pembangunan Grid Borneo yang menghubungkan Sarawak dengan Kalimantan Barat sejak 2016 selain memperluaskan kerjasama tenaga dengan Sabah dan negara jiran lain.
Menurutnya, pengalaman itu boleh menjadi asas kepada pembangunan rangkaian tenaga yang lebih luas melibatkan Semenanjung Malaysia, Singapura dan negara-negara ASEAN yang lain.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Energy Interconnections, Ong Teng Koon berkata, ASEAN kini mempunyai kemahuan politik, permintaan pasaran dan potensi projek yang mencukupi untuk menggerakkan APG ke peringkat seterusnya.
Namun katanya, aspek kepastian kawal selia, pembahagian risiko dan koordinasi rentas sempadan masih perlu diperkukuh bagi memastikan projek dapat menarik pelaburan serta mencapai tahap kebolehlaksanaan yang diperlukan.
“Kita perlu memastikan projek-projek awal dapat direalisasikan kerana APG tidak akan dibangunkan hanya melalui perjanjian besar di peringkat serantau.
“Ia perlu direalisasikan satu projek demi satu projek. Apabila projek pertama berjaya dilaksanakan, ia akan menjadi model kepada projek-projek seterusnya,” tambahnya.
Pada masa sama, Ketua Pegawai Undang-Undang Elia Grid International, Didier Wiot berkongsi pengalaman Eropah dalam membangunkan sistem sambungan tenaga merentasi pelbagai negara yang kini menjadi antara pemacu utama keselamatan tenaga rantau tersebut.
Menurut beliau, projek-projek strategik seperti APG perlu dimulakan walaupun tidak semua perkara telah dimuktamadkan kerana banyak penambahbaikan boleh dilakukan sepanjang proses pelaksanaan berlangsung.
“Jika kita menunggu sehingga semua perkara sempurna, projek itu mungkin tidak akan bermula.
“Apabila projek bermula, semua pihak akan memberi tumpuan kepada penyelesaian sebenar dan itulah yang mempercepatkan kemajuan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaburan dalam APG perlu dilihat sebagai pelaburan strategik jangka panjang yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan baharu serta menyokong pembangunan industri masa depan termasuk pusat data dan ekonomi digital.
Perbincangan tersebut selari dengan tema ETCon26, “Energy & AI: The Synergy for Energy Transition” yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keselamatan tenaga, mempercepat peralihan tenaga dan memperluaskan kerjasama serantau dalam menghadapi peningkatan permintaan tenaga masa hadapan.