Skip to main content

Malaysia

Empat LRA strategik PAAB kukuhkan bekalan air Kelantan menjelang 2030

GUA MUSANG, 11 Jun -- Loji rawatan Air (LRA), Bukit Chupak yang telah siap dibina dan dirasmikan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassaruddin Daud hari ini._BERNAMA
Pembinaan melibatkan LRA Chicha 2, LRA Tok Bali, LRA Bukit Chupak (gambar) dan LRA Machang yang menjadi antara projek utama bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat serta memperkukuh sistem bekalan air di negeri Kelantan. - Gambar Bernama

KOTA BHARU: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) terus memperkukuh komitmennya dalam memastikan rakyat Kelantan menikmati bekalan air lebih stabil, berkualiti dan mampan menerusi empat projek Loji Rawatan Air (LRA) yang dilaksanakan secara berperingkat menjelang 2030.

Pembinaan tersebut melibatkan LRA Chicha 2, LRA Tok Bali, LRA Bukit Chupak dan LRA Machang yang menjadi antara projek utama bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat serta memperkukuh sistem bekalan air di negeri itu.

Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Azhar Hanafi berkata, melalui model pembiayaan PAAB, beberapa projek utama dapat dilaksanakan dengan lebih terancang tanpa memberi tekanan terlalu besar kepada syarikat operator air negeri kerana antara cabaran dihadapi pihaknya sebelum ini ialah kekangan kewangan berikutan projek infrastruktur air memerlukan perbelanjaan tinggi serta tempoh pelaksanaan yang panjang. 

"AKSB mempunyai pelan transformasi termasuk pendekatan seluruh kerajaan (whole-of-government) dengan kerjasama daripada kerajaan Persekutuan dan Negeri, PAAB serta pihak berkepentingan lain untuk memastikan sistem bekalan air Kelantan menjadi lebih baik.

"Transformasi sistem bekalan air Kelantan memerlukan pelaburan sangat besar kerana ia melibatkan banyak aspek seperti pembinaan loji baharu, penggantian paip lama, pembinaan tangki simpanan dan penggunaan teknologi pemantauan lebih moden," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, peranan PAAB bukan sekadar penyedia pembiayaan, tetapi juga sebagai rakan strategik, malah pendekatan ini membolehkan AKSB memberi tumpuan kepada beberapa aspek seperti operasi, penyelenggaraan dan peningkatan kualiti perkhidmatan.

Sebelum ini, Pengerusi PAAB, Datuk Seri Jaseni Maidinsa berkata, sehingga Mei 2026, sebanyak RM1.63 bilion pelaburan telah diperuntukkan bagi pembangunan infrastruktur bekalan air di Kelantan. 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM264.28 juta melibatkan projek yang telah siap, RM376.34 juta projek lagi dalam pembinaan, manakala RM991.41 juta pula berada pada peringkat perancangan dan reka bentuk. 

"Projek-projek tersebut dijangka memberi impak lebih besar kepada penduduk di negeri ini yang sekian lama berdepan masalah kekurangan bekalan air bersih, malah bakal menjadi penanda aras dan pemangkin baharu kepada pembangunan sektor air di Kelantan.

"Berdasarkan komitmen ini, PAAB akan terus bekerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Kelantan dan AKSB bagi memastikan agenda meningkatkan sistem bekalan air negeri dapat direalisasikan demi manfaat pengguna di seluruh negeri ini," katanya.

Beliau berkata, LRA Bukit Chupak bernilai RM70.76 juta berkapasiti 10 juta liter sehari (JLH) dirasmikan pada 11 Jun lepas, telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk di Gua Musang dan berjaya menyelesaikan masalah bekalan air yang berlarutan hampir dua dekad di beberapa kawasan kritikal.

"Projek LRA Chicha 2 berkapasiti 20 JLH bernilai RM55 juta dijangka siap pada Oktober 2026, manakala projek LRA Tok Bali membabitkan kos pembinaan RM162.26 juta dengan kapasiti 50 JLH dijadual siap sepenuhnya pada Januari 2028.

"Manakala, LRA Machang pula dijangka siap pada 2030 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM500 juta dan dijangka membekalkan sehingga 120 JLH, menjadikannya antara projek infrastruktur air utama yang bakal memperkukuh jaminan bekalan air di Kelantan untuk tempoh jangka panjang," katanya.

Sementara itu, beberapa penduduk ditemui Bernama menyifatkan usaha dilakukan agensi terlibat sebagai langkah tepat dan dinantikan mereka sejak sekian lama bagi mengatasi gangguan bekalan air yang membelenggu sebahagian kawasan di negeri itu.

Penduduk, Yusairi Ahmad, 44, berkata, pembinaan LRA baharu memberi sinar harapan kepada rakyat dan berharap semua projek dapat disiapkan mengikut jadual tanpa kelewatan supaya manfaatnya dapat dirasai secepat mungkin.

"Kami tidak mengharapkan penyelesaian sementara tetapi mahu perubahan dan air bersih yang dapat dinikmati untuk jangka panjang," katanya.

Bagi peniaga Sarimah Hassan, 50, pula berkata, pembinaan infrastruktur air akan membantu rakyat terima bekalan air lebih bersih, merancakkan aktiviti ekonomi setempat dalam melakukan urusan harian serta meningkatkan keyakinan dalam perniagaan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement