KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan dirinya sebagai Perdana Menteri yang cemerlang apabila nama Malaysia terus digeruni di peringkat antarabangsa dengan mendapat kedudukan lebih baik dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026.
Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Misrinah Misban berkata, daya saing Malaysia terus melonjak ke tangga 15 tahun ini apabila Malaysia berada di kedudukan ke-23 daripada 69 ekonomi selepas melonjak 11 anak tangga berbanding tangga ke-34 daripada 67 ekonomi pada 2024.
Katanya, dengan prestasi yang cemerlang hasil pelaksanaan dasar dan tatakekola yang mampan walapun belum sepenggal menjadi Perdana Menteri, Anwar sedaya-upaya melakukan terbaik sehingga nama Malaysia semakin digeruni.
"Amat wajarlah sekiranya rakyat Malaysia terus mempertimbangkan untuk menyokong usaha-usaha meneruskan Anwar sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua.
"Di peringkat tempatan, rakyat tidak dibebani dengan krisis ekonomi dunia akibat perang AS-Iran, manakala di peringkat antarabangsa, nama Malaysia digeruni dan semakin harum terutama selepas bergelut dengan skandal 1MDB sebelum ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mistinah berkata, melalui data pencapaian ekonomi, beliau melihat ada satu kesungguhan dalam mereformasikan birokrasi menerusi projek-projek di bawah Jawatankuasa Daya Saing Negara.
Katanya, pencapaian ini tidak datang bergolek; ia memerlukan keberanian politik untuk membetulkan ketirisan masa lalu dan mengembalikan keyakinan para pelabur global.
"Kestabilan institusi dan kesejahteraan rakyat jelata adalah paksi utama Anwar tanpa perlu terjebak dalam kancah retorik politik yang memihak secara membuta tuli.
"Kita harus akur, sebuah kepimpinan yang baik dinilai daripada buahnya yang ranum, bukan sekadar janji-janji yang gugur sebelum berkembang," katanya.
Jelasnya, dasar intervensi kerajaan melalui kestabilan makroekonomi, kepelbagaian pasaran perdagangan, serta pengurusan subsidi bersasar telah berjaya membina benteng pertahanan yang ampuh.
Katanya, sektor pelancongan yang kembali rancak serta lonjakan pelaburan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor telah menjadi penggerak utama yang memastikan pertumbuhan ekonomi domestik kekal di landasan yang betul.
"Hasilnya, kita tidak tenggelam di karam samudera krisis dunia, sebaliknya mampu berdiri tegak mengekalkan lebihan dagangan yang sihat," katanya.