Skip to main content

Malaysia

Daerah Larut, Matang dan Selama dilanda banjir, 17 mangsa dipindahkan ke PPS

PEMANTAUAN KAWASAN BANJIR DAERAH MANJUNG 14 Jun 2026, Ahad - Berikutan kejadian hujan lebat yang berterusan melebihi 1 jam yang berlaku di sekitar daerah Manjung, APM daerah Manjung telah menerima aduan berkenaan kawasan sekitar Kampung Kilang, Beruas dinaiki air dan seterusnya melakukan pemantauan. Hasil pemantauan mendapati beberapa rumah di kawasan sekitar telah dinaiki air. Tiada Pusat Pemindahan Sementara yabg diaktifkan setakat ini. Mohon kepada semua warga Daerah Manjung terutama di kawasan berisiko
Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Hampar bagi menempatkan 17 mangsa daripada lapan keluarga susulan banjir yang melanda Kampung Sungai Rotan, Trong dalam daerah Larut, Matang dan Selama malam ini. - Foto Facebook APM Perak

IPOH: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Hampar bagi menempatkan 17 mangsa daripada lapan keluarga susulan banjir yang melanda Kampung Sungai Rotan, Trong dalam daerah Larut, Matang dan Selama malam ini.

Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Larut, Matang dan Selama dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5.40 petang tadi.

“Pemantauan awal di lokasi mendapati kejadian banjir berpunca daripada hujan lebat yang berterusan melebihi dua jam serta saliran parit kecil tersumbat dan tidak dapat menampung kapasiti aliran air.

“Keadaan air di sekitar Kampung Sungai Rotan dilaporkan masih berarus deras dengan paras ketinggian kira-kira 0.5 meter, namun menunjukkan trend menurun manakala cuaca di kawasan berkenaan dilaporkan mendung pada 6.21 petang tadi dan keadaan semasa masih hujan,” menurut kenyataan itu.

PKOD APM Daerah Larut, Matang dan Selama memaklumkan pihaknya telah menggerakkan tiga anggota bersama sebuah kenderaan Hilux bagi menjalankan pemantauan serta membantu operasi di kawasan terjejas.

Menurut kenyataan itu, selepas selesai membuat pemantauan pada 7.37 malam, pasukan berkenaan meneruskan operasi ke SK Batu Hampar untuk memasang serta menghantar khemah (C-Tent) bagi kegunaan mangsa banjir di PPS berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Larut, Matang dan Selama Mohd Nasrul Menhat berkata PPS itu mula beroperasi pada 8 malam tadi.

“Berikutan kejadian banjir yang berlaku di Kampung Batu 23 dan Kampung Batu 25, Sungai Rotan, Batu Hampar, dimaklumkan bahawa PPS dibuka pada 8 malam, 14 Jun 2026 (Ahad),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement