Skip to main content

Malaysia

'Bukan mahu kekebalan' - KDN terus libat urus sebelum bentang semula pindaan Akta Penjara

81734614132_TBpenjara.jpg
Saifuddin Nasution berkata, cadangan pindaan itu disalah tafsir oleh sesetengah pihak, termasuk NGO dan ahli Parlimen sebagai usaha memberikan kekebalan undang-undang kepada pegawai penjara. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneruskan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh sebelum membentangkan semula cadangan pindaan Akta Penjara, yang bertujuan memberikan perlindungan kepada pegawai penjara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata cadangan pindaan itu disalah tafsir oleh sesetengah pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli Parlimen sebagai usaha memberikan kekebalan undang-undang kepada pegawai penjara.

"Pindaan ini mencadangkan supaya ada elemen perlindungan apabila seorang pegawai penjara bertindak secara suci hati.

"Perkataan ini perlu kita perjelaskan lagi kerana sangkaan umum, NGO termasuk juga ahli-ahli dewan, menganggap bahawa ini usaha Jabatan Penjara untuk mendapat kekebalan undang-undang," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

KDN sebelum ini dilaporkan menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Penjara (Pindaan) 2026 bagi membolehkan penelitian lanjut dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen.

Antara cadangan utama ialah penggunaan peranti pengawasan elektronik untuk memantau pergerakan banduan tertentu, penubuhan sukarelawan penjara bagi membantu program pemulihan, serta perlindungan undang-undang kepada pegawai penjara yang menjalankan tugas mengikut peruntukan akta.

Beliau menegaskan pindaan yang dicadangkan bukan bertujuan memberikan kekebalan undang-undang, sebaliknya memperuntukkan elemen perlindungan kepada pegawai penjara yang menjalankan tugas dengan suci hati.

“Banyak akta lain dalam negara kita turut mempunyai peruntukan yang sama. Hujah pertama ialah keseragaman, hujah kedua adalah tidak sama sekali menuntut kekebalan undang-undang ke atas pegawai penjara,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata antara contoh yang mendorong cadangan pindaan itu ialah kes seorang pengarah penjara yang disaman selepas melaksanakan hukuman sebatan, yang diputuskan mahkamah terhadap seorang prospek yang kemudiannya meninggal dunia.

"Jadi kes macam ini saya merasakan bahawa ada keperluan untuk Akta Penjara dipinda dalam konteks ini. Ada kes di penjara yang prospek mati dalam tidur. Laporan perubatan mengesahkan tak ada 'foul play'. Tapi masih lagi pegawai penjara disaman," katanya.

Beliau berkata pegawai penjara kekal tertakluk kepada tindakan undang-undang sekiranya berlaku kecuaian atau pelanggaran undang-undang, sambil memberikan contoh siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung insiden rusuhan di Penjara Taiping yang turut disusuli siasatan polis serta tindakan dalaman.

"Kertas siasatan polis dibuat, tindakan dalaman dilakukan, tindakan undang-undang juga berlaku. Jadi contoh (dakwaan) bahawa tak ada langsung niat untuk mendapatkan kekebalan. Bahkan pegawai penjara tetap tertakluk kepada tindakan undang-undang jika berlaku kecuaian atau pelanggaran," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement