TAWAU: Seramai 48 penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di Kampung Tanjung Batu Keramat, di sini, dipindahkan dengan bantuan pasukan bomba ke masjid berhampiran, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Jemishin Ujin berkata sepasukan anggota bertugas tiba di lokasi pada 3.16 pagi untuk memindahkan mangsa termasuk 18 kanak-kanak ke masjid yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara.
“Operasi ditamatkan pada 7.30 pagi, operasi pemantauan dan pemindahan dijalankan dengan paras air dilaporkan semakin surut dan keadaan terkawal,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
BACA: Tawau diisytihar kawasan bencana
Jemishin berkata pihaknya turut menerima beberapa panggilan kecemasan berkaitan banjir antara lain melibatkan kawasan Taman Ria 1, Taman Hot Spring dan Perumahan Taman SunShu.
Katanya pasukan bomba akan terus memantau perkembangan semasa dan memberi bantuan segera.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau Mohd Shoffian Mohd Said dalam satu kenyataan berasingan mengisytiharkan berlaku bencana banjir di kawasan itu.
Beliau berkata pengiystiharan itu berkuat kuasa pada 8.30 pagi berdasarkan laporan dan maklumat diterima daripada agensi dalam JPBD di lapangan.
-- BERNAMA