JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan mandat mentadbir Johor selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 semalam sekali gus membentuk semula kerajaan negeri dengan majoriti lebih besar.
Kemenangan itu menyaksikan BN menambah lapan kerusi berbanding 40 kerusi yang dimenangi pada 2022 sekali gus kali gus menguasai majoriti dua pertiga DUN Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengeluarkan keputusan lengkap pada kira-kira 1 pagi tadi, dengan yang terakhir diperoleh ialah DUN Puteri Wangsa sekali gus menyaksikan PH menang di lapan kerusi.
Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (Bersama), Parti Sosialis Malaysia, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) pula gagal memenangi sebarang kerusi manakala enam calon Bebas yang bertanding turut berdepan nasib serupa.
Bercakap kepada media di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan kemenangan itu sebagai mandat besar yang diberikan oleh rakyat untuk gabungan tersebut terus berkhidmat, menyantuni rakyat dan menyelesaikan pelbagai isu demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Beliau berkata kemenangan itu adalah satu amanah besar yang diterima dengan penuh rasa syukur dan rendah hati.
Kemenangan BN itu turut menyaksikan MIC menang di kesemua empat kerusi yang ditandingi menerusi K. Raven Kumar (DUN Kemelah), V. Rugendran (Kahang), P. Pannir Selvam (Perling) dan R. Kumaran (Bukit Batu).
Sebuah lagi parti komponen BN iaitu MCA pula mencatat kemenangan di lapan DUN menerusi Ling Tiang Soon (Yong Peng), Lee Ting Han (Paloh), Tan Chong (Bekok), Tan Eng Meng (Pekan Nanas), Chua Jian Boon (Layang-Layang), Haw Chin Teck (Tangkak), See Ann Giap (Jementah) dan Chan San San (Johor Jaya).
PH pula meraih kemenangan di lapan kerusi daripada 56 yang ditandingi terdiri daripada enam kerusi menerusi DAP di Skudai, Mengkibol, Bentayan, Senai, Penggaram dan Stulang manakala Amanah memenangi DUN Simpang Jeram dan PKR di DUN Puteri Wangsa.
PRN Johor kali ini menyaksikan DAP tewas di 11 daripada 17 kerusi ditandingi termasuk kehilangan empat DUN yang disandang sebelum ini iaitu Johor Jaya, Tangkak, Jementah dan Perling apabila ia dirampas parti komponen BN iaitu MCA serta MIC.
Bersama pula gagal memenangi sebarang kerusi dan hilang deposit di kesemua 15 kerusi yang ditandingi.
Sementara itu, Pengarah Bersama Pilihan Raya PKR Datuk Seri Amirudin Shari merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan mengucapkan tahniah kepada semua calon yang dipilih.
Beliau berkata keputusan itu akan mendorong PH untuk terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa dan berintegriti dengan membawa suara rakyat serta menawarkan penyelesaian terhadap isu-isu asas yang masih belum diselesaikan.
PN, yang memenangi tiga DUN pada PRN Johor 2022, gagal mempertahankan kesemua DUN berkenaan apabila tewas di DUN Bukit Kepong, yang ditandingi bekas Menteri Besar dan Pengerusi Bersatu Johor Dr Sahruddin Jamal, serta DUN Endau dan DUN Maharani.
Dalam pada itu, PAS Johor dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menghormati dan menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka serta menganggap rakyat Johor telah menzahirkan pilihan mereka secara demokratik dalam menentukan kepimpinan kerajaan negeri.
Di DUN Machap, Onn Hafiz menepati ramalan apabila berjaya mempertahankan kerusinya dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon PH Nur Hafiz Roslan selepas memperoleh 20,382 undi sekali gus menang dengan majoriti 15,375 undi.
Bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pula menang di Puteri Wangsa menewaskan empat lagi pencabarnya, iaitu calon BN Teow Chia Ling, Nicholas Paul Vincent daripada Bersama, Rashifa Aljunied yang mewakili MUDA dan calon Bebas Wang Wee Seong.
Sementara itu, bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pula kembali memenangi kerusi DUN Pasir Raja yang pernah disandangnya selama dua penggal manakala kesemua sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang dicalonkan semula turut mempertahankan kerusi masing-masing.
Bagaimanapun, dua Ahli Parlimen yang bertanding pada PRN kali ini tewas kepada calon BN apabila Onn Abu Bakar gagal di DUN Senggarang manakala Suhaizan Kayat tewas di DUN Larkin.
Turut mencipta sejarah Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam Datuk Samsolbari Jamali yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Semarang bagi penggal keenam berturut-turut.
PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN, yang terdiri daripada 56 calon masing-masing daripada BN dan PH diikuti PN (33), Bersama (15), MUDA (empat), Bebas (enam) serta masing-masing seorang daripada PSM dan ASLI.
DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lepas, dengan penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun diikuti undi awal pada 7 Julai manakala hari pengundian berlangsung semalam yang melibatkan 2.7 juta pemilih berdaftar.
-- BERNAMA