KUALA LUMPUR: Golongan belia di negara ini digesa supaya sentiasa memperkukuh nilai integriti, memperkasa budaya kesukarelawanan serta bijak mendepani cabaran era digital, termasuk ancaman penipuan dalam talian (scammer) dan manipulasi kecerdasan buatan (AI), kata Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata golongan muda merupakan warisan penting yang akan mencorakkan masa depan negara, namun kini berhadapan dengan persekitaran pascapandemik yang semakin kompetitif, melibatkan isu kesihatan mental, persaingan dalam pasaran kerja serta kos sara hidup.
"Dalam mendepani kepesatan teknologi masa kini, belia perlu mempunyai jati diri yang kuat untuk membezakan antara perkara yang benar dengan yang palsu, serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran keuntungan cepat.
"Dalam al-Quran, kita diberikan pengajaran melalui kisah Ashabul Kahfi. Kisah ini secara khusus menonjolkan peranan belia dan betapa pentingnya golongan ini dalam menentukan masa depan negara," katanya ketika merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Kawasan Bandar Tun Razak di Pusat Belia Antarabangsa di sini hari ini.
Dr Wan Azizah, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, berkata kawasan itu merekodkan 57,396 belia yang berpotensi dan kreatif, namun sebahagian daripada mereka masih berdepan cabaran sosioekonomi yang ketara.
Sehubungan itu, beliau berkata isu kemiskinan bandar dalam kalangan generasi muda perlu diberi perhatian menerusi pendekatan lebih menyeluruh bagi memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada arus pembangunan.
Beliau turut menggesa pertubuhan belia di peringkat akar umbi memanfaatkan platform MPBN di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 sebagai saluran rasmi yang matang untuk mengemukakan usul dan resolusi secara tersusun bagi pertimbangan kerajaan.
"Kita tidak mahu belia hanya mengambil sikap berdiam diri dalam mesyuarat tetapi meluahkan pelbagai rungutan di media sosial selepas itu. Gunakan platform rasmi ini untuk menyalurkan idea demi pembentukan dasar negara," katanya.
Dr Wan Azizah turut menyeru pertubuhan belia supaya memperkukuh tadbir urus organisasi dan memperluas jaringan kerjasama strategik, selain memastikan keputusan serta resolusi MPBN diterjemahkan kepada tindakan yang nyata.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Bandar Tun Razak Khairunnisa Abu Samah berkata antara usul baharu yang dikemukakan pada persidangan itu ialah pemerkasaan pembangunan belia melalui penubuhan Hab Belia Komuniti Bandar Tun Razak.
"Hab Belia Komuniti diyakini mampu menjadi ruang yang selamat dan kondusif serta berfungsi sebagai platform pembangunan belia dalam pelbagai aspek, sekali gus mengurangkan gejala sosial dan melahirkan generasi muda yang berdaya saing, berkemahiran serta berwawasan," katanya.
-- BERNAMA