Skip to main content

Malaysia

Bekalan petroleum cukup hingga Disember - Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR, 9 April -- Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir ditemui media sebelum menghadiri program Ruang Bicara bertajuk Mendepani Krisis Tenaga Global: Ikhtiar Perkukuh Ketahanan Ekonomi di Wisma Bernama malam ini._BERNAMA
Akmal Nasrullah (foto) berkata kerajaan sudah mengambil langkah awal dengan memastikan stok petroleum negara berada pada paras mencukupi, selain terus mempelbagaikan sumber bekalan bagi mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana negara pengeluar. -Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Bekalan petroleum negara kekal stabil dan mencukupi bagi memenuhi keperluan domestik sehingga Disember tahun ini meskipun ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat terus memberi tekanan kepada pasaran tenaga global.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan sudah mengambil langkah awal dengan memastikan stok petroleum negara berada pada paras mencukupi, selain terus mempelbagaikan sumber bekalan bagi mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana negara pengeluar.

Beliau berkata walaupun konflik di Asia Barat masih belum menunjukkan tanda-tanda berakhir, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia melaksanakan langkah intervensi jika perlu bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal terjamin.

“Setakat ini, kita sudah memastikan bekalan petroleum mencukupi sehingga hujung tahun.

“Pada masa sama, usaha mendapatkan sumber bekalan alternatif bagi tahun hadapan juga sedang dipergiat.

“Pilihan untuk mendapatkan bekalan daripada pelbagai sumber sentiasa terbuka bagi menjamin kestabilan bekalan petroleum negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Peluncuran Tinjauan Ekonomi Malaysia Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata kerajaan turut memperkukuh ketahanan tenaga melalui peningkatan penggunaan biodiesel, termasuk pelaksanaan campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 dalam tempoh dua bulan.

Katanya, kerajaan akan terus menilai sebarang perubahan dasar yang diperlukan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara tanpa menjejaskan aktiviti ekonomi.

Mengenai cadangan mengurangkan subsidi bahan api, beliau berkata kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan baharu setakat ini.

“Fokus kerajaan ketika ini adalah memastikan keseimbangan antara jaminan bekalan petroleum dan kestabilan harga minyak.

“Langkah yang telah diputuskan sebelum ini ialah mengehadkan pembelian diesel bersubsidi daripada 300 liter kepada 200 liter.

"Setakat ini, itu sahaja yang dilaksanakan dan sekiranya terdapat sebarang perubahan, kerajaan akan memaklumkannya kemudian,” katanya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement