Skip to main content

Malaysia

Banjir Medan Selera 223 : Kerajaan Negeri Selangor didesak laksana kolam tadahan atasi banjir berulang

Taman Medan Dr Afif Bahardin_AWANI
ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin menggesa Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim serta MBPJ mempercepatkan pelaksanaan penyelesaian banjir di kawasan itu. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) didesak mengambil tindakan segera termasuk melaksanakan cadangan pembinaan kolam tadahan bagi menangani masalah banjir kilat berulang di Medan Selera 223, Seksyen 51A, Petaling Jaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata, cadangan itu telah dibangkitkan sejak beberapa bulan lalu selepas lawatan bersama pihak berkaitan ke lokasi terjejas, namun sehingga kini masih belum ada tindakan konkrit dilaksanakan.

Menurutnya, kolam tadahan mampu berfungsi sebagai langkah segera untuk mengurangkan limpahan air yang menyebabkan kawasan berkenaan kerap dinaiki air setiap kali hujan lebat.

“Ketika pertemuan sebelum ini saya mencadangkan supaya dibina kolam tadahan kerana kapasiti sistem perparitan sedia ada sudah tidak mampu menampung jumlah aliran air yang melalui kawasan tersebut.

“Cadangan itu juga telah diterima baik ketika perbincangan bersama pihak berkaitan, namun sehingga hari ini saya tidak melihat sebarang tindakan daripada MBPJ mahupun kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Afif menjelaskan, banjir yang berlaku bukan semata-mata berpunca daripada hujan lebat, sebaliknya disebabkan aliran air yang tinggi dari kawasan sekitar sebelum memasuki sistem perparitan yang terletak di bawah medan selera tersebut.

Katanya, keadaan itu menyebabkan air bertakung sebelum dapat mengalir ke Sungai Klang, sekali gus mencetuskan banjir kilat yang berulang.

Beliau menyifatkan kelewatan bertindak sebagai sesuatu yang mengecewakan memandangkan masalah itu telah berlarutan dan menjejaskan ramai pihak.

“Kalau setiap kali hujan lebat sedikit sahaja kawasan itu terus banjir dan perkara sama berlaku empat atau lima kali dalam tempoh sebulan, ia tidak boleh lagi dianggap sebagai perkara biasa.

“Peniaga, pekerja kilang dan orang ramai yang berada di kawasan itu terus menanggung kerugian setiap kali kejadian berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim serta MBPJ mempercepatkan pelaksanaan penyelesaian yang telah dicadangkan bagi mengelakkan insiden sama terus berulang.

“Saya desak Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim serta MBPJ mengambil tindakan segera kerana masalah ini sudah berulang kali berlaku dan terus menjejaskan kehidupan serta sumber pendapatan penduduk,” katanya.

Dalam masa sama, Afif turut meminta MBPJ mempertimbangkan moratorium atau pengecualian bayaran sewa kepada peniaga yang terjejas sehingga masalah banjir berkenaan berjaya diselesaikan sepenuhnya.

Medan Selera 223 di Petaling Jaya dilanda banjir kilat pada Sabtu susulan hujan lebat, menjadikannya kejadian ketiga yang direkodkan di lokasi berkenaan dalam tempoh kurang tiga bulan. 

Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan paras air mencecah bawah pinggang sehingga menjejaskan operasi peniaga dan pelanggan.

Must Watch Video

Advertisement