MELAKA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sebuah rumah kedai yang runtuh dipercayai ketika diubah suai di Taman Kota Laksamana, di sini semalam sehingga status semua pekerja yang berada di premis terbabit disahkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah Penguasa Bomba Kanan II K. Karuppannan berkata mengambil kira risiko struktur bangunan yang masih tidak stabil, pihaknya tidak mahu mempertaruhkan keselamatan anggotanya bagi memasuki kawasan runtuhan selagi belum ada pengesahan sama ada terdapat mangsa terperangkap.
"Apabila pasukan bomba tiba di lokasi, didapati bangunan rumah kedai dua tingkat itu telah runtuh sepenuhnya. Bagaimanapun, kita (bomba) belum menerima maklumat lengkap sama ada terdapat mangsa terperangkap.
"Pemilik bangunan memaklumkan semua pekerja telah keluar namun kita masih perlu mendapatkan pengesahan daripada pekerja yang berada di lokasi ketika kejadian," katanya kepada pemberita di lokasi.
Beliau berkata pemilik premis terbabit yang berada di Kuala Lumpur sedang dalam perjalanan ke lokasi bersama beberapa pekerja bagi membantu proses mengenal pasti kehadiran semua individu terlibat.
Karuppannan berkata berdasarkan maklumat awal, terdapat empat pekerja dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian di premis itu sebelum kejadian berlaku.
"Jadi, kita perlu menunggu pekerja terbabit hadir bagi mengesahkan sama ada semua individu telah keluar dengan selamat. Selepas itu, pihak bomba bersama polis akan menjalankan siasatan lanjut berdasarkan maklumat yang diperoleh," katanya.
Beliau berkata 10 anggota bomba bersama sebuah jentera digegaskan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan dan penilaian risiko memandangkan bangunan itu runtuh pada bahagian hadapan dan belakang selain bunyi rekahan pada struktur menunjukkan masih wujud kemungkinan berlaku runtuhan susulan.
Sekiranya disahkan tiada mangsa terperangkap, beliau berkata operasi SAR tidak akan diteruskan dan kerja-kerja pembersihan akan diserahkan kepada pemilik bangunan serta pihak berkuasa tempatan.
Terdahulu media melaporkan sebuah rumah kedai dua tingkat dipercayai sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian runtuh kira-kira 4.45 petang, disusuli satu lagi runtuhan lebih besar pada 5.23 petang.
Kejadian menyebabkan sebuah kereta Toyota Vios dan Proton Iriz yang diparkir berhampiran lokasi kejadian mengalami kerosakan akibat ditimpa serpihan konkrit serta sisa runtuhan.
-- BERNAMA