KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengkaji semula sistem penjawatan dan struktur kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani ketidakseimbangan dalam hierarki jawatan serta memastikan ia selaras dengan keperluan semasa pasukan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata terdapat beberapa aspek dalam struktur penjawatan sedia ada yang wajar diperhalusi, termasuk membabitkan hierarki jawatan tertinggi PDRM.
Malah, menurutnya, perkara itu telah dibangkitkan secara terbuka kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dua bulan lalu dan berpandangan sudah tiba masanya penambahbaikan dibuat terhadap struktur sedia ada.
“Kalau kita lihat sekarang, Ketua Polis Negara berada pada gred Turus II, manakala Timbalan Ketua Polis Negara berada pada gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A.
“Pada pandangan saya, jawatan Timbalan Ketua Polis Negara sepatutnya berada pada gred Turus III, manakala pengarah-pengarah jabatan pada gred JUSA A dan JUSA B kepada Ketua Polis Negeri supaya struktur kepimpinan lebih tersusun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata struktur organisasi PDRM tidak boleh dibandingkan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana kedua-dua agensi mempunyai fungsi dan skop tanggungjawab yang berbeza.
“ATM mempunyai tiga cabang perkhidmatan, manakala PDRM memiliki 10 jabatan yang masing-masing menggalas fungsi serta tanggungjawab berbeza.
“Setiap hari jumlah penduduk bertambah, beban kerja PDRM juga semakin meningkat dan kita memerlukan lebih ramai pegawai penyiasat.
“Sebab itu saya berpandangan sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula penjawatan pasukan ini,” katanya.
Ayob Khan berkata cadangan itu bukan dibuat atas kepentingan peribadi susulan persaraan.
“Saya bercakap bukan untuk diri saya, tetapi untuk generasi akan datang. Kerajaan perlu memberi perhatian khusus terhadap perkara ini,” katanya.