SEREMBAN: Beberapa kenderaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan dilihat memasuki kediaman rasmi Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, di sini, hari ini.
Difahamkan kehadiran mereka kira-kira 9.30 pagi tadi bagi membincangkan perkembangan semasa berkenaan negeri itu.
Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Ahmad Shahir Md Shah berkata setakat ini tiada sidang media diadakan berkenaan pertemuan itu.
Beliau turut memaklumkan Menteri Besar akan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir esok, iaitu rutin mingguan sebelum Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
-- BERNAMA