KULIM: Seramai 32 penuntut sebuah kolej swasta di sini terselamat selepas bas sekolah yang dinaiki terbabas di Jalan Lebuh KTC, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, dalam kejadian jam 7.35 pagi itu bas yang dipandu seorang lelaki dipercayai sedang bergerak dari Taman KTC1 menghala ke Kulim Hi Tech Park (KHTP).
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bas yang dipandu lelaki berusia 40-an itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu masuk laluan bertentangan.
"Pemandu bas terbabit mengalami kecederaan di kepala dan dihantar ke Hospital Kulim (HK) untuk pemeriksaan lanjut.
"Bagaimanapun kesemua pelajar dalam bas berkenaan tidak mengalami kecederaan dan telah dihantar ke kolej oleh van yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan pada rabu.
Syamsul berkata, setakat ini siasatan masih dijalankan berhubung kejadian itu.