KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 kes pembuangan bayi direkodkan di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Mac 2026, berbanding 72 kes sepanjang tahun lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, daripada 18 kes yang direkodkan tahun ini, 10 kes melibatkan Selangor, diikuti dua kes masing-masing di Sabah dan Pulau Pinang.
Katanya, Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak masing-masing merekodkan satu kes.
"Dimaklumkan bahawa kesemua bayi bagi kes yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini selamat.
"Dalam menangani isu pembuangan bayi, KPWKM menerusi agensi seliaannya iaitu JKM dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaksanakan pelbagai pendekatan yang merangkumi aspek pencegahan, perlindungan dan intervensi," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab pertanyaan Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang ingin tahu perincian statistik kes keguguran dan pembuangan bayi mengikut negeri dan tindakan kerajaan dalam menangani isu berkenaan.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, setiap bayi yang ditemui atau diselamatkan akan diberikan perlindungan segera mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Ujarnya, bayi yang ditinggalkan atau dibuang boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan, dengan tindakan sewajarnya diambil termasuk penempatan sementara atau mendapatkan perintah perlindungan daripada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.
Selain itu, JKM turut menyediakan perkhidmatan pengurusan kes, kaunseling, sokongan psikososial dan intervensi keluarga bagi mengurangkan risiko pengabaian serta pembuangan bayi.
"KPWKM juga akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil.
"Ia bagi memastikan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menangani faktor-faktor yang menyumbang kepada kejadian pembuangan bayi," jelasnya.
Dalam pada itu menjawab soalan tambahan Mastura pula, Hui Ying berkata setakat ini tiada data khusus mengenai jumlah klinik swasta yang dikesan menjalankan aktiviti pengguguran secara haram di seluruh negara.
Bagaimanapun, ujar beliau, sebarang maklumat atau aduan yang diterima daripada orang awam berhubung dakwaan aktiviti tersebut akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.