CHUKAI: Persatuan Pemuliharaan Tuntung Malaysia (TCS) berjaya mengutip 1,673 biji telur tuntung di Sungai Kemaman berhampiran Kampung Pasir Gajah di sini sejak 2 Feb lepas.
Pengasas bersama merangkap Pengarah Eksekutif TCS Dr Chen Pelf Nyok berkata kesemua telur tuntung itu telah dieram di Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai di Kampung Pasir Gajah bagi menyelamatkan spesies tuntung berkenaan daripada ancaman kepupusan.
Beliau berkata jumlah telur tuntung yang dikutip terhad kerana musim bertelur spesies berkenaan dalam tempoh singkat, iaitu antara Februari hingga Mac setiap tahun.
Chen berkata daripada jumlah keseluruhan telur tuntung yang dieram itu, sebanyak 1,222 biji telur telah menetas setakat hari ini.
"Telur tuntung yang dieram itu akan mengambil masa antara 70 hingga 90 hari untuk menetas," katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai di Kampung Pasir Gajah di sini, hari ini.
Beliau berkata anak-anak tuntung yang menetas itu pula akan dipasang mikrocip sebagai penandaan identiti dan data biologi bagi tujuan rekod sebelum dilepaskan semula ke habitat asal di sungai.
"Mikrocip berkenaan dipasang bagi membolehkan pihak pusat pemuliharaan tuntung mengenal pasti tuntung tersebut sekiranya ditemukan semula pada masa hadapan untuk memudahkan pengumpulan data serta menilai kadar kelangsungan hidup spesies itu," katanya.
Chen berkata sejumlah daripada anak tuntung yang menetas itu telah dilepaskan secara berperingkat di Sungai Kemaman berdekatan Kampung Pasir Gajah.
"Kemuncak acara pelepasan anak tuntung di sungai itu adalah pada 3 Oktober ini dan tarikh itu ditetapkan pada setiap tahun," katanya.
Pada tahun lepas, katanya, sebanyak 1,134 ekor anak tuntung dilepaskan di lokasi berkenaan bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat yang berminat menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Lebih 7,000 ekor anak tuntung telah dilepaskan di sungai tersebut sejak usaha konservasi spesies berkenaan dilakukan bermula pada 2012," katanya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut melaksanakan pelbagai aktiviti kesedaran dalam kalangan pelajar dan orang ramai bagi meningkatkan kefahaman serta sokongan terhadap usaha pemuliharaan tuntung.
-- BERNAMA