Skip to main content

Dunia

Zelensky cadang lanjutkan undang-undang tentera, mobilisasi umum

81770108606_ZELENSKY.jpg
Volodymyr Zelensky, Presiden Ukraine.

KYIV/MOSCOW: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Isnin mengemukakan rang undang-undang kepada parlimen bagi mencadangkan supaya tempoh pelaksanaan undang-undang tentera dan mobilisasi umum dilanjutkan selama 90 hari lagi susulan konflik yang berterusan dengan Rusia, lapor Xinhua.

Kedua-dua langkah itu, yang dijadual tamat pada 2 Ogos, akan dilanjutkan selama 90 hari lagi sekiranya diluluskan parlimen.

Ahli Parlimen Yaroslav Zheleznyak berkata pengundian dijangka berlangsung pada Selasa dan Rabu.

Ukraine mula melaksanakan undang-undang tentera serta mengisytiharkan mobilisasi umum pada Februari 2022 dan sejak itu telah beberapa kali melanjutkan tempoh pelaksanaannya.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan bahawa tenteranya melancarkan serangan semalaman ke atas infrastruktur berkaitan ketenteraan, kemudahan bahan api, tenaga dan pengangkutan Ukraine, selain memintas 12 bom udara berpandu serta 926 dron sayap tetap.

Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) pula memaklumkan yang pihaknya berjaya menggagalkan serangan dron berskala besar oleh Ukraine yang menyasarkan lapangan terbang tentera, manakala pihak berkuasa Moscow melaporkan sistem pertahanan udara meneutralkan ratusan dron Ukraine yang menghampiri ibu negara itu.

Ukraine pula memaklumkan bahawa dronnya menyerang lebih 10 sasaran ketenteraan, logistik dan tenaga Rusia di Crimea serta wilayah Rusia berhampiran pada waktu malam, termasuk kemudahan penyimpanan bahan api, stesen radar dan infrastruktur pelabuhan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement