Skip to main content

Dunia

WHO beri amaran gelombang haba baharu dijangka landa Eropah

A person uses an umbrella to shield themself from the sun during a heatwave in Madrid, Spain, July 6, 2026. REUTERS/Violeta Santos Moura
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa Eropah dijangka berdepan minggu-minggu yang ‘membawa risiko maut’ berikutan gelombang haba melampau baharu yang sedang dalam pembentukan di permukaan (lautan) Atlantik. - Foto REUTERS

BRUSSELS: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa Eropah dijangka berdepan minggu-minggu yang ‘membawa risiko maut’ berikutan gelombang haba melampau baharu yang sedang dalam pembentukan di permukaan (lautan) Atlantik.

Pertubuhan itu justeru menggesa negara terlibat supaya mengukuhkan rancangan tindak balas kesihatan memandangkan suhu di Portugal dan selatan Sepanyol diramal mencecah sekitar 43 darjah Celcius minggu ini, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Pengarah WHO Wilayah Eropah Dr. Hans Henri P. Kluge membincangkan mengenai gelombang panas baru-baru ini dan persediaan untuk fasa seterusnya semasa mesyuarat tergempar bersama 41 Negara Anggota WHO/Eropah, serta Suruhanjaya Eropah dan beberapa kumpulan masyarakat sivil.

“Negara-negara yang mempunyai pelan tindakan kesihatan haba bertindak balas dengan pantas, diselaraskan dengan baik dalam kalangan pihak berkaitan dan melindungi rakyat mereka dengan berkesan,” katanya, sambil menambah bahawa “jurang yang paling ketara ialah tidak sampai separuh daripada Negara Anggota Wilayah Eropah WHO mempunyai pelan tindakan kesihatan haba nasional.”

Kluge berkata usaha kini perlu menumpukan pada menangani kelemahan yang dikesan dalam beberapa minggu kebelakangan ini serta membina sistem kesihatan yang mampu bukan sahaja bertindak balas terhadap haba melampau tetapi juga bersiap sedia lebih awal.

Pakar berkata gelombang haba yang melanda Eropah antara 20 Jun dan 28 Jun adalah yang paling teruk dalam rekod, mengganggu pengeluaran tenaga, merosakkan infrastruktur dan meletakkan tekanan ketara pada sistem penjagaan kesihatan.

Mereka berkata perubahan iklim berkemungkinan besar pemacu utama suhu yang melampau itu.

Perancis, Belanda dan Belgium merekodkan sekitar 3,700 lebih kematian, dengan angka kematian dijangka meningkat, manakala suhu mencecah 40 darjah Celsius di beberapa kawasan.

-- BERNAMA-WAM

 

Must Watch Video

Advertisement