Skip to main content

Dunia

Wabak Ebola: Penyakit jarang tetapi membawa maut dan cara penularannya

Health workers wearing protective suits tend to an Ebola victim kept in an isolation tent in Beni, Congo, July 13, 2019. (AP Photo/Jerome Delay
Petugas kesihatan yang memakai sut perlindungan merawat seorang pesakit Ebola yang ditempatkan di dalam khemah pengasingan di Beni, Congo. - Foto AP

KINSHASA: Wabak Ebola kembali menjadi kebimbangan global susulan peningkatan kes di Republik Demokratik Congo (DR Congo), dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkannya sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Antarabangsa.

Ebola merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus dan walaupun jarang berlaku, ia dikenal pasti sebagai penyakit yang serius serta sering membawa maut.

Terdapat beberapa jenis strain Ebola, dan wabak semasa di DR Congo dikenal pasti berpunca daripada virus jenis Bundibugyo.


Gejala bermula seperti selesema

Gejala Ebola lazimnya muncul secara tiba-tiba antara dua hingga 21 hari selepas jangkitan.

Pada peringkat awal, pesakit biasanya mengalami simptom seperti selesema termasuk demam, sakit kepala dan keletihan.

Apabila penyakit semakin serius, pesakit boleh mengalami muntah serta cirit-birit.

Dalam kes lebih teruk, sesetengah pesakit menunjukkan tanda pendarahan dalaman dan luaran, selain kegagalan organ seperti buah pinggang dan hati.

Keadaan ini boleh membawa kepada kematian sekiranya tidak dirawat dengan segera.


Penularan melalui cecair badan

Virus Ebola secara semula jadi wujud dalam haiwan, khususnya kelawar buah.

Penularan kepada manusia biasanya berlaku apabila seseorang dijangkiti selepas berhubung dengan haiwan yang dijangkiti.

Dalam kalangan manusia, virus ini merebak melalui sentuhan dengan cecair badan seperti darah, muntah atau rembesan lain daripada individu yang dijangkiti.

Risiko penularan adalah tinggi terutamanya dalam situasi melibatkan penjagaan pesakit atau pengurusan jenazah tanpa langkah perlindungan yang sesuai.

Sejarah menunjukkan wabak Ebola terbesar berlaku antara tahun 2014 hingga 2016 di Afrika Barat, melibatkan kira-kira 28,600 kes jangkitan.


Tiada vaksin untuk strain semasa

WHO memaklumkan bahawa setakat ini tiada vaksin atau rawatan khusus yang diluluskan bagi strain Bundibugyo yang sedang menular di DR Congo.

Bagaimanapun, vaksin telah dibangunkan untuk strain Ebola jenis Zaire, yang sebelum ini lebih biasa ditemui dalam beberapa wabak terdahulu.


Langkah pencegahan penting

Pakar kesihatan menekankan bahawa langkah pencegahan seperti mengelakkan sentuhan dengan cecair badan pesakit, mengamalkan kebersihan diri dan mematuhi prosedur kesihatan awam adalah penting bagi mengawal penularan virus.

Peningkatan kes Ebola ketika ini menuntut kerjasama semua pihak, termasuk komuniti setempat dan agensi kesihatan antarabangsa, bagi mengekang wabak daripada merebak dengan lebih meluas.
 

 

Must Watch Video