Skip to main content

Dunia

UAE gesa pendekatan awal, proaktif banteras ekstremisme

[TB]_Ali Alnuaimi_FB Ali Alnuaimi
Al Nuaimi berkata, UAE turut mengemas kini perundangannya dengan menjadikan ucapan berbaur kebencian sebagai satu jenayah, sambil menambah bahawa langkah sedemikian amat penting bagi melindungi semua komuniti dalam masyarakat yang majmuk. - Gambar Facebook Ali Ainuaimi

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan masyarakat harus menangani ideologi ekstremis sebelum ia berkembang menjadi keganasan, kata seorang ahli parlimen kanan Emiriah, sambil memberi amaran bahawa platform dalam talian dan kandungan digital kini semakin banyak digunakan untuk menjadikan golongan muda radikal.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pertahanan, Dalam Negeri dan Luar Negara bagi Majlis Kebangsaan Persekutuan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dr Ali Rashid Al Nuaimi berkata, kumpulan ekstremis sering bermula dengan "merampas minda dan hati" golongan muda melalui usaha menjadikan mereka radikal, sekali gus menjadikan usaha pencegahan sebagai bahagian kritikal dalam mana-mana strategi pencegahan keganasan yang berkesan.

Beliau berkata, kumpulan ekstremis kini semakin menyasarkan golongan muda di alam maya, termasuk menerusi platform permainan dalam talian  serta kandungan digital seperti video atau fatwa keagamaan untuk menyebarkan ideologi radikal.

"Bagi memerangi keganasan, kita mesti menyelesaikannya dari akar umbi dan membanteras ekstremisme terlebih dahulu," katanya ketika berucap di Forum ISIS bertajuk "Combating Extremism: An Emirati Perspective" di Institut  Strategik dan Pengajian Antarabangsa (ISIS) Malaysia di sini pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau berkata, golongan intelektual, pemimpin agama, penggubal dasar dan komuniti mesti bekerjasama untuk membina kesedaran dalam kalangan generasi muda.

Berkongsi pengalaman UAE, beliau berkata, negara itu telah menggunakan pendekatan pencegahan yang komprehensif berteraskan pendidikan, wacana keagamaan, perundangan dan penglibatan masyarakat untuk menangani radikalisasi sebelum ia memuncak menjadi keganasan.

Beliau berkata, perubahan dilakukan dalam sekolah dan universiti untuk mempromosikan nilai-nilai murni Islam, kebersamaan serta perkongsian nilai kemanusiaan sejagat, manakala naratif keagamaan dibentuk semula bagi menekankan rasa hormat terhadap orang lain dan hidup bersama secara aman dalam kepelbagaian.

Al Nuaimi berkata, UAE turut mengemas kini perundangannya dengan menjadikan ucapan berbaur kebencian sebagai satu jenayah, sambil menambah bahawa langkah sedemikian amat penting bagi melindungi semua komuniti dalam masyarakat yang majmuk.

UAE, katanya, menjadi rumah kepada lebih 200 warganegara, dengan rakyat tempatan merangkumi sekitar 15 peratus daripada populasi manakala ekspatriat membentuk baki 85 peratus yang lain.

"Kami menerima semua orang seadanya. Kami tidak meminta mereka untuk berubah. Namun ada satu perkara yang kami tuntut daripada semua orang: hormati kedaulatan undang-undang," katanya.

Beliau menegaskan bahawa keganasan tidak seharusnya dikaitkan dengan mana-mana agama, etnik atau kewarganegaraan, memandangkan ideologi ekstremis boleh wujud dalam mana-mana masyarakat dan kepercayaan.

Al Nuaimi berkata, Islam, dalam bentuknya yang sebenar, adalah agama kedamaian, kebersamaan dan penerimaan, tetapi telah disalahgunakan oleh kumpulan yang mempunyai agenda politik untuk menghalalkan keganasan dan perpecahan.

"Menjadi tanggungjawab kita, khususnya sebagai umat Islam, untuk menyelamatkan semula agama kita daripada terus diperalatkan oleh kumpulan pengganas ini," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antarabangsa, sambil menyatakan bahawa golongan ekstremis beroperasi merentasi sempadan dan tiada sebuah negara pun yang mampu menghadapi ancaman ini secara bersendirian.

"Tiada satu negara pun yang mampu membanteras keganasan atau ekstremisme secara bersendirian. Kita memerlukan komitmen daripada komuniti antarabangsa dan penglibatan semua pihak," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement