Skip to main content

Malaysia

Ilmu pertanian bantu pekebun durian tempatan kekal berdaya saing

71740455994_Durian.jpg
Pengguna hari ini lebih mementingkan rasa dan kualiti. Sebab itu pengusaha kebun perlu memastikan pokok dijaga dengan baik supaya buah yang dihasilkan memenuhi jangkaan pasaran. - Gambar fail

GUA MUSANG: Amalan pertanian yang baik serta kesediaan menimba ilmu antara faktor penting membantu pekebun durian tempatan terus berdaya saing meskipun industri itu berdepan isu lambakan dan ketidaktentuan harga.

Pekebun durian jenis D169 atau dikenali sebagai Tok Litok, Muhamad Rofi Ismail, 59, berkata, ilmu yang diperoleh menerusi kursus banyak membantunya meningkatkan kualiti hasil kebun.

“Kalau kita mahu durian tempatan terus relevan, kita tidak boleh bergantung kepada nama jenis durian semata-mata. Kualiti perlu dijaga secara konsisten supaya pengguna yakin dan akan kembali membeli.

“Untuk itu, saya banyak belajar melalui kursus anjuran Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Pertubuhan Peladang dan syarikat swasta. Ilmu yang diperoleh itu saya praktikkan di kebun bagi menghasilkan buah yang lebih berkualiti,” katanya kepada pemberita di Kampung Batu 6, di sini, pada Khamis.

Beliau yang mengusahakan kebun durian Tok Litok seluas 1.2 hektar sejak tiga dekad lepas berkata, penjagaan kebun secara konsisten, termasuk pembajaan, kawalan penyakit, penyelenggaraan pokok dan pemilihan buah menjadi kunci hasil yang memenuhi kehendak pengguna.

Katanya, walaupun pelbagai varieti premium seperti Musang King mendapat perhatian pasaran, durian tempatan masih mampu mengekalkan permintaan sekiranya aspek kualiti diberi keutamaan.

“Pengguna hari ini lebih mementingkan rasa dan kualiti. Sebab itu kami perlu memastikan pokok dijaga dengan baik supaya buah yang dihasilkan memenuhi jangkaan pasaran.

“Penjagaan kebun tidak boleh dilakukan secara bermusim. Ia memerlukan ilmu, pengalaman dan disiplin kerana setiap peringkat daripada pembajaan sehingga penuaian mempengaruhi mutu buah,” katanya.

Muhamad Rofi berkata, kira-kira dua tan durian habis dijual hasil tempahan pelanggan tetap sejak penghujung Mei lepas.

Beliau berkata, selepas musim berakhir minggu depan, kerja pembajaan dan penyelenggaraan kebun akan dimulakan sebagai persediaan menghadapi musim akan datang.

Katanya, pemindahan ilmu serta amalan pertanian yang baik dalam kalangan pekebun perlu dilaksanakan bagi memastikan industri durian tempatan terus berkembang.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement