TEHRAN: Iran menegaskan bahawa tiada keperluan untuk campur tangan pihak ketiga dalam operasi pembersihan periuk api di Selat Hormuz, sambil menegaskan negara itu mempunyai keupayaan sepenuhnya untuk mengurus keselamatan laluan perkapalan strategik tersebut.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, berkata operasi pembersihan periuk api dan pengurusan navigasi di Selat Hormuz telah diatur menerusi memorandum persefahaman (MoU) berkaitan, sekali gus menjadikan penglibatan kuasa luar tidak diperlukan.
“Iran lebih memahami tanggungjawabnya berbanding mana-mana pihak lain dan mempunyai keupayaan untuk melaksanakannya. Tiada keperluan untuk campur tangan pihak lain,” katanya kepada pemberita.
Kenyataan itu dibuat susulan cadangan Perancis untuk bekerjasama dengan rakan antarabangsa dalam usaha pembersihan periuk api di Selat Hormuz bagi menjamin kebebasan dan keselamatan pelayaran di kawasan berkenaan.
Presiden Perancis Emmanuel Macron sebelum ini mengumumkan persetujuan dengan Oman untuk menyokong usaha tersebut.
Menurut Baghaei, Iran akan mengambil langkah yang diperlukan untuk memastikan laluan selamat bagi kapal dagang yang melalui kawasan Teluk dan Laut Oman sebagai sebahagian daripada komitmennya di bawah MoU yang dimeterai dengan Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata proses pemulihan laluan perkapalan sedang berjalan dan akan diteruskan seiring usaha menghapuskan halangan teknikal serta operasi pembersihan periuk api yang dilaksanakan pihak berkuasa Iran.
Selat Hormuz merupakan salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia kerana menjadi saluran utama eksport minyak dan gas dari negara-negara Teluk ke pasaran global.
Sebarang gangguan di kawasan itu berpotensi memberi kesan besar kepada bekalan tenaga dan ekonomi dunia.
Dalam perkembangan berkaitan, Baghaei turut mengesahkan bahawa pegawai Iran dan Qatar dijadual mengadakan pertemuan di Doha bagi membincangkan pelaksanaan MoU, termasuk isu dana Iran yang dibekukan.
Namun, beliau menafikan dakwaan bahawa rundingan baharu antara pegawai Iran dan AS telah dijadualkan dalam masa terdekat.
Penegasan Tehran itu dilihat mencerminkan pendirian Iran untuk terus mengekalkan kawalan ke atas pengurusan keselamatan dan pelayaran di Selat Hormuz, yang dianggap sebagai salah satu aset strategik terpenting negara berkenaan.