CHONGQING: Pasukan penyelamat sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas kejadian tanah runtuh berskala besar yang menimbus lebih 10 bangunan kediaman di Daerah Autonomi Pengshui Miao dan Tujia, barat daya China, pada Jumaat.
Kejadian yang berlaku jam 9.08 pagi di kawasan tebing Sungai Wujiang itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan yang melanda wilayah berkenaan sejak beberapa hari lalu.
Menurut laporan penyiar rasmi China, CCTV, pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan amaran awal sekitar pukul 8 pagi selepas mengesan runtuhan batuan kecil di lereng bukit berkenaan.
Bagaimanapun, runtuhan utama berlaku ketika usaha memindahkan lebih 60 penduduk sedang dijalankan dan dipercayai menyebabkan beberapa individu terperangkap di bawah timbunan batu serta lumpur.
Setakat petang Jumaat, sekurang-kurangnya 10 mangsa berjaya dikeluarkan daripada runtuhan oleh pasukan penyelamat.
Kerajaan pusat China telah mengaktifkan respons kecemasan banjir Tahap IV bagi wilayah Chongqing dan mengerahkan lebih 800 anggota penyelamat, termasuk pakar geologi, ke lokasi bagi membantu operasi SAR.
Sebagai langkah keselamatan, bekalan air, elektrik dan gas dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi runtuhan turut dihentikan bagi mengelakkan risiko kejadian susulan.