LONDON: Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer, dijadual mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kesihatan, Wes Streeting, ketika Parti Buruh berdepan krisis kepimpinan yang semakin meruncing dan membahagikan parti itu kepada dua kem utama.
Pertemuan tersebut berlangsung ketika tekanan semakin memuncak terhadap Starmer susulan keputusan pilihan raya tempatan yang buruk, sehingga mencetuskan desakan dalam kalangan Ahli Parlimen Buruh agar beliau berundur daripada jawatan Perdana Menteri.
Menurut laporan media tempatan, lebih 90 Ahli Parlimen Parti Buruh secara terbuka menggesa Starmer meletakkan jawatan, manakala empat menteri dilaporkan telah meninggalkan kabinet, sekali gus memperdalamkan perpecahan dalaman parti itu.
Streeting, yang menjadi antara tokoh kanan kerajaan dan disifatkan sebagai calon berpotensi mencabar kepimpinan Starmer, dijangka mengadakan perbincangan kritikal di Downing Street dalam usaha meredakan ketegangan yang semakin hangat.
Bagaimanapun, beberapa laporan menyebut Streeting dijangka tidak membuat sebarang kenyataan awam selepas pertemuan itu bagi mengelakkan sebarang gangguan menjelang Pembentangan Titah Diraja dan pembukaan rasmi Parlimen.
Starmer sebelum ini menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan dan memberi amaran bahawa sebarang cabaran kepimpinan perlu mengikut prosedur rasmi Parti Buruh, termasuk keperluan sokongan minimum daripada Ahli Parlimen untuk mencetuskan pertandingan kepimpinan.
Dalam pada itu, lebih 100 Ahli Parlimen Parti Buruh dilaporkan menandatangani satu kenyataan berasingan yang menyokong Starmer dan menggesa parti itu bersatu, sambil memberi amaran bahawa perebutan kepimpinan hanya akan melemahkan kedudukan parti di mata rakyat.
Krisis dalaman ini tercetus ketika Parti Buruh cuba memulihkan keyakinan pengundi selepas kehilangan sokongan besar dalam pilihan raya tempatan, selain berdepan tekanan daripada parti lawan dan kebimbangan pasaran terhadap ketidakstabilan politik di Britain.
Pemerhati politik berpandangan, pertemuan antara Starmer dan Streeting dilihat sebagai detik penting yang bakal menentukan sama ada Parti Buruh mampu meredakan perpecahan dalaman atau berdepan risiko pertempuran kepimpinan yang lebih terbuka dalam tempoh terdekat.