Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Israel bimbang Trump capai “perjanjian buruk” dengan Iran

A missile unveiled by Iran is launched in an unknown location in Iran in this picture received by Reuters on August 20, 2020. WANA (West Asia News Agency) via REUTERS
Israel menyuarakan kebimbangan bahawa Presiden Donald Trump, bakal memeterai satu perjanjian dengan Iran yang disifatkan "buruk" serta berisiko meninggalkan ancaman keselamatan utama. - Gambar fail Reuters

TEL AVIV: Ketika perang masih belum menunjukkan tanda-tanda reda, Israel menyuarakan kebimbangan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bakal memeterai satu perjanjian dengan Iran yang disifatkan "buruk" serta berisiko meninggalkan ancaman keselamatan utama.

Kebimbangan itu timbul susulan kemungkinan Washington mencapai persetujuan dengan Tehran tanpa menangani beberapa isu teras yang menjadi punca tercetusnya konflik antara kedua-dua negara, menurut beberapa sumber Israel yang dipetik CNN.

Sumber berkenaan memaklumkan, sebarang perjanjian yang membenarkan program nuklear Iran kekal beroperasi walaupun secara terhad, selain mengetepikan isu peluru berpandu balistik dan sokongan Tehran terhadap kumpulan proksi serantau, akan menyebabkan Israel menganggap perang berkenaan sebagai belum diselesaikan sepenuhnya.

Pada peringkat awal konflik, Trump dilaporkan menyatakan hasrat AS untuk memusnahkan program peluru berpandu balistik Iran, menamatkan sokongan negara itu kepada kumpulan proksi di rantau Asia Barat serta menutup kemudahan nuklearnya bagi memastikan Iran tidak lagi berupaya membangunkan senjata nuklear.

Namun, selepas kira-kira 10 minggu konflik berlarutan, rundingan kini dilihat lebih tertumpu kepada isu uranium - khususnya pengayaannya ke tahap gred senjata - selain usaha membuka semula Selat Hormuz yang merupakan laluan strategik perdagangan global.

Sumber yang mengetahui perbincangan diplomatik berkenaan berkata, Israel memahami bahawa isu peluru berpandu balistik dan kumpulan proksi “berkemungkinan besar sudah diketepikan”, memandangkan kedua-duanya tidak terkandung dalam draf awal rundingan. 

Keadaan itu mendorong Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memberi tumpuan kepada isu uranium yang dianggap sebagai ancaman keselamatan paling segera.

“Terdapat kebimbangan nyata bahawa Trump akan mencapai satu perjanjian yang buruk,” kata seorang lagi pegawai Israel kepada CNN.

Dalam pada itu, seorang pegawai kanan Israel berkata, negara itu kekal berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi sekiranya rundingan antara AS dan Iran gagal mencapai kata sepakat.

“Kami akan gembira jika tiada perjanjian dicapai, kami akan gembira jika sekatan ke atas Selat Hormuz diteruskan dan kami juga akan gembira jika Iran menerima beberapa serangan tambahan,” katanya, sambil mengakui keputusan muktamad terletak di tangan Trump.

Beliau turut memberi amaran bahawa peningkatan ketegangan kekal sebagai satu senario realistik sekiranya Iran terus melengah-lengahkan rundingan yang sedang berlangsung. - Agensi

Must Watch Video