SEOUL: Samsung Electronics menafikan dakwaan menyalahgunakan imej penyanyi pop antarabangsa, Dua Lipa, pada kotak televisyen keluarannya tanpa kebenaran, lapor Amanz.
Penjelasan itu dibuat susulan tuntutan saman ganti rugi AS$15 juta (kira-kira RM59 juta) yang difailkan pihak pengurusan artis berkenaan di mahkamah California baru-baru ini.
Menurut Samsung, imej berkenaan dibekalkan oleh rakan kongsi untuk mempromosikan kandungan perkhidmatan penstriman percuma, Samsung TV Plus, pada 2025.
Syarikat itu menjelaskan foto tersebut digunakan pada kotak runcit model Samsung Crystal UHD TV selepas menerima jaminan undang-undang daripada pembekal kandungan bahawa semua hak penggunaan imej telah diperoleh.
Samsung berkata pihaknya menolak tuduhan salah guna secara sengaja kerana bergantung sepenuhnya kepada jaminan kontrak yang diberikan.
โKami menolak sebarang tuduhan melakukan salah guna secara sengaja kerana kami bergantung sepenuhnya kepada jaminan kontrak yang diberikan oleh rakan kongsi kandungan kami,โ kata jurucakap syarikat dalam laporan Billboard.
Sementara itu, peguam Dua Lipa mendakwa imej yang dirakam di belakang pentas Festival Austin City Limits pada 2024 digunakan tanpa kebenaran dan memberi gambaran seolah-olah penyanyi lagu Levitating itu merupakan duta rasmi produk Samsung.
Walaupun mempertikaikan tuntutan tersebut, Samsung menegaskan mereka menghormati hak harta intelek artis dan bersedia bekerjasama dengan pihak terbabit bagi mencari penyelesaian yang adil.
Kes ini turut menarik perhatian penganalisis kerana menyerlahkan kepentingan ketelusan dalam perjanjian hak cipta antara pengeluar perkakasan dan pembekal kandungan pihak ketiga.