Skip to main content

Dunia

Skandal 1MDB: Jho Low didakwa mohon pengampunan daripada Trump

Sumber: REUTERS & AP
Jho Low (kanan) didakwa telah memohon pengampunan daripada Presiden AS, Donald Trump, baru-baru ini. - Gambar fail

WASHINGTON: Taek Jho Low, ahli perniagaan Malaysia yang kini dalam buruan antarabangsa dan dituduh Amerika Syarikat (AS) sebagai dalang salah satu skandal penipuan kewangan terbesar dunia, didakwa telah memohon pengampunan daripada Presiden AS, Donald Trump, baru-baru ini.

Menurut maklumat yang dipaparkan di laman web Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), permohonan pengampunan yang dibuat atas nama Taek Jho Low atau Jho Low itu diklasifikasikan sebagai “pengampunan selepas selesai menjalani hukuman.”

Bagaimanapun, status permohonan tersebut masih dalam pertimbangan (pending) dan tiada perincian lanjut didedahkan setakat ini.

Jho Low sebelum ini berdepan pertuduhan menyeleweng kira-kira AS$4.5 bilion (RM17.7 bilion) dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2018, namun sehingga kini masih bebas daripada ditahan pihak berkuasa.

Pendakwa raya persekutuan AS mendakwa Jho Low, dengan bantuan dua bekas jurubank Goldman Sachs Group, telah membayar hampir AS$2 bilion (RM7.8 bilion) dalam bentuk rasuah kepada pegawai asing bagi menjayakan skim berkenaan.

Selain itu, sekitar AS$1 bilion (RM3.9 bilion) lagi dipercayai disalurkan sebagai habuan kepada individu yang terlibat, manakala Jho Low sendiri didakwa memperoleh sekurang-kurangnya AS$1.42 bilion (RM5.58 bilion) hasil daripada skim tersebut.

Sementara itu, salah seorang bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner, telah mengaku bersalah dan tampil memberi keterangan dalam perbicaraan pada 2022 terhadap bekas rakan sejawatnya, Roger Ng, yang kemudian disabitkan kesalahan.

Dalam keterangannya kepada juri, Leissner mendakwa Jho Low pernah memberi jaminan bahawa Trump, yang ketika itu merupakan Presiden AS, terlibat secara langsung dalam rundingan bagi menamatkan siasatan jenayah AS berkaitan skandal 1MDB.

Leissner turut mendakwa, Jho Low kononnya telah berbincang mengenai perkara itu dengan Jared Kushner, menantu Trump serta bekas penasihat kanan White House dan memperoleh sokongan terhadap satu perjanjian yang berpotensi membolehkan mereka mengelak pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB.

Untuk rekod, Leissner sendiri pernah memohon pengampunan pada tahun lalu namun permohonannya tidak dimakbulkan. 

Beliau diarahkan mula menjalani hukuman penjara selama dua tahun pada Februari lalu atas peranannya dalam kes penipuan kewangan berkenaan. - Agensi

Must Watch Video