RAMALLAH: Aktivis hak asasi manusia Palestin mendakwa serangan oleh peneroka haram Israel ke atas perkampungan di Tebing Barat semakin meningkat dan berlaku secara berulang di beberapa kawasan wilayah yang diduduki.
Aktivis yang berpangkalan di Ramallah, Ubai Al-Aboudi berkata insiden berkenaan bukan kejadian terpencil, sebaliknya sebahagian daripada apa yang disifatkannya sebagai tindakan yang berlaku secara sistematik terhadap penduduk Palestin, lapor Al Jazeera.
Beliau merujuk kepada insiden di perkampungan Sarra di barat Nablus pada Jumaat yang menurutnya turut menjadi sasaran serangan pada 17 Julai lalu.
Menurut Al-Aboudi, sekumpulan peneroka haram Israel memasuki perkampungan itu dan membakar sebuah rumah ketika sebuah keluarga berada di dalam kediaman berkenaan.
Bagaimanapun, semua ahli keluarga terbabit dilaporkan berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung sebelum kebakaran merebak dengan lebih besar.
Beliau turut mendakwa pasukan tentera Israel sering campur tangan selepas insiden sedemikian berlaku, termasuk melaksanakan perintah berkurung dan menahan penduduk Palestin yang cuba mempertahankan diri.
Menurut Al-Aboudi, hampir 600 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak terbunuh di Tebing Barat sejak Oktober 2023 dalam insiden yang membabitkan tentera Israel dan peneroka haram Israel.
Beliau turut mendakwa hampir tiada tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang terlibat dalam insiden berkenaan.