TEHRAN: Jurucakap Angkatan Tentera Iran memberi amaran bahawa sebarang serangan baharu oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap infrastruktur Iran akan mencetuskan tindak balas yang "amat membinasakan", lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Brigedier Jeneral Abolfazl Shekarchi berkata Iran bersiap siaga sepenuhnya untuk menghadapi peperangan dan akan bertindak balas dengan tegas terhadap "sebarang serangan dan tindakan semberono baharu” terhadap negara itu.
"Jika infrastruktur kami rosak, semua infrastruktur di rantau ini akan menjadi sasaran kami," katanya.
"Sekiranya musuh boleh memusnahkan kami, mereka tidak akan menunggu walaupun sejam," kata Shekarchi.
Beliau mendakwa AS dan rejim Zionis yang tidak sah tidak mempunyai hak untuk berada di rantau itu sambil menambah bahawa kedua-duanya sejak sekian lama menjarah kekayaan negara-negara di rantau berkenaan serta menjadi punca ketidakstabilan.
Shekarchi berkata kedaulatan Republik Islam Iran ke atas Selat Hormuz merupakan sumber keselamatan bagi seluruh rantau itu, bukannya punca ketidakstabilan.
"Kami bertegas supaya AS berundur dari rantau ini dan tidak akan berganjak daripada pendirian kami berhubung Selat Hormuz," katanya.
-- BERNAMA-IRNA