WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) bersedia mengenakan semula sekatan maritim yang ketat terhadap Iran sekiranya negara itu gagal mematuhi terma memorandum persefahaman (MoU) nuklear yang dimeterai minggu ini, lapor BBC.
Amaran itu disuarakan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth ketika berucap kepada pemberita hari ini.
Di bawah perjanjian berkenaan, AS sebelum ini bersetuju menarik balik sekatan ketenteraan laut yang menyekat pergerakan kapal ke dan dari perairan Iran sejak April lalu.
"Jika Iran tidak melakukan apa yang telah mereka persetujui, iaitu menamatkan cita-cita pemilikan senjata nuklear mereka, maka jabatan peperangan sedia ada dan bersiap siaga untuk memulakan semula (operasi ketenteraan) sekiranya perlu," tegas Hegseth.
Beliau menambah bahawa sebarang tindakan ketenteraan serta rundingan lanjut oleh pihak AS selepas ini akan sentiasa berpaksikan kepada isu senjata nuklear Iran.
Dalam perkembangan sama, Hegseth berkata beberapa negara Eropah telah menyatakan kesediaan membantu usaha pembersihan periuk api di Selat Hormuz.
Bagaimanapun, beliau secara terbuka menggesa United Kingdom (UK) untuk meningkatkan komitmen dan perbelanjaan ketenteraan mereka, terutamanya dalam membantu AS sekiranya memerlukan akses ke pangkalan tentera di UK serta Diego Garcia.