WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bantuan kemanusiaan berjumlah AS$150 juta (kira-kira RM615 juta) bagi menyokong usaha menyelamat susulan gempa bumi yang melanda Venezuela, lapor AFP.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata aset ketenteraan negara itu akan digunakan bagi menyokong operasi logistik dalam usaha tindak balas bencana tersebut.
Menurutnya, Washington turut mengerahkan Pasukan Tindak Balas Bantuan Bencana (DART) bersama dua pasukan mencari dan menyelamat bandar (USAR) dari Fairfax County, Virginia dan Los Angeles County, California.
Selain itu, Komando Selatan Amerika Syarikat mengesahkan pengerahan dua kapal Tentera Laut, iaitu USS Fort Lauderdale (LPD 28) dan USS Billings (LCS 15), ke kawasan terjejas.
Pasukan tersebut dijangka menyediakan sokongan pengangkutan udara menggunakan helikopter bagi menilai kerosakan serta menyalurkan bantuan kecemasan.
Dalam perkembangan berkaitan, pegawai Jabatan Negara AS berkata penyaluran bantuan tersebut akan diselaraskan bersama pihak berkuasa Venezuela, rakan kemanusiaan, serta sektor swasta.
Gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud yang melanda kawasan pantai Caribbean Venezuela pada Rabu menyebabkan kerosakan besar terhadap infrastruktur, termasuk lapangan terbang utama, serta mengorbankan ratusan nyawa.
Pihak berkuasa Venezuela telah mengisytiharkan darurat di kawasan terjejas bagi mempercepatkan pengurusan bantuan.
AS kini antara beberapa negara yang menyertai usaha bantuan antarabangsa termasuk Sepanyol, Perancis, Jerman, Switzerland, Mexico dan Brazil.