KUWAIT CITY: Semua operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait digantung sementara susulan penutupan ruang udara negara itu berikutan serangan terbaharu Iran.
Syarikat penerbangan nasional, Kuwait Airways, berkata keputusan itu diambil bagi menjamin keselamatan penumpang dan kru penerbangan selepas ruang udara negara berkenaan disahkan tidak selamat untuk operasi penerbangan komersial.
Pengumuman itu dibuat selepas syarikat tersebut memaklumkan bahawa jadual sebahagian besar penerbangan antarabangsa dan domestik terpaksa disusun semula susulan ancaman keselamatan yang semakin meningkat.
Menerusi hantaran di platform X, Kuwait Airways menggesa semua penumpang supaya mengikuti perkembangan semasa dan menyemak kemas kini jadual penerbangan dari semasa ke semasa.
#kuwait_airways announces to its valued customers the rescheduling of most of its flights due to the temporary suspension of takeoff and landing operations at Kuwait International Airport as a result of hostile missile and drone attacks following the Iranian aggression on…
— Kuwait Airways (@KuwaitAirways) July 18, 2026
Syarikat itu turut memberi jaminan bahawa sebarang maklumat mengenai pemulihan operasi atau perubahan jadual akan dimaklumkan secara terus kepada penumpang menerusi notifikasi dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berdasarkan maklumat tempahan yang didaftarkan.
Penutupan ruang udara dan penggantungan operasi lapangan terbang utama negara itu berlaku ketika konflik di Asia Barat terus memuncak.
Sebelum ini, beberapa infrastruktur penting di Kuwait, termasuk loji janakuasa elektrik dan penyahmasinan air, dilaporkan menjadi sasaran serangan yang dikaitkan dengan Iran.