Skip to main content

Dunia

Rakaman baharu tunjuk suspek kes bunuh Charlie Kirk berada di atas bumbung

Sumber: REUTERS
Video berkenaan turut kelihatan menunjukkan suspek melompat turun dari bumbung sambil memegang satu objek. - Foto REUTERS

UTAH: Pendakwa raya menyiarkan rakaman kamera keselamatan baharu yang didakwa menunjukkan lelaki dituduh membunuh aktivis konservatif Charlie Kirk berlari di atas bumbung sebuah bangunan selepas tembakan maut berlaku tahun lalu.

Rakaman itu ditayangkan pada hari kedua pendengaran awal kes Tyler Robinson, 23, di sebuah mahkamah di Utah.

Video berkenaan turut kelihatan menunjukkan suspek melompat turun dari bumbung sambil memegang satu objek.

Robinson dituduh menembak mati Kirk pada 10 September 2025 ketika aktivis itu berucap di hadapan orang ramai di kampus Utah Valley University.

Pendengaran awal yang dijangka berlangsung sepanjang minggu ini akan menentukan sama ada terdapat bukti mencukupi untuk Robinson dibicarakan.

Beliau berdepan beberapa pertuduhan termasuk pembunuhan berat.

Robinson belum membuat pengakuan, manakala pasukan pembelaannya membantah sebahagian besar bukti video yang dikemukakan pendakwa raya.

Pendakwa raya turut memohon hukuman mati dalam kes tersebut.

Saksi pendakwaan, David Hull, penyiasat utama Biro Siasatan Negeri Utah, memberitahu mahkamah bahawa rakaman keselamatan menunjukkan seorang lelaki yang didakwa sebagai Robinson beberapa kali berada di sekitar kampus pada hari kejadian.

Menurut Hull, rakaman menunjukkan kenderaan Robinson memasuki tempat letak kereta kampus sebelum seorang lelaki berbaju merah gelap, memakai kasut Converse dan berseluar pendek kelabu atau hijau zaitun dilihat berjalan di kawasan universiti.

Lelaki sama kemudian dilihat kembali ke kampus, membeli makanan di Chick-fil-A dan menuju ke kawasan berhutan berhampiran universiti.

Apabila muncul semula kira-kira 90 minit sebelum tembakan berlaku, lelaki itu dilihat memakai pakaian berbeza dan seolah-olah berjalan tempang, kata Hull.

Rakaman seterusnya menunjukkan suspek menuju ke Bangunan Losee sebelum memanjat penghadang dan naik ke bumbung.

Tidak lama selepas tembakan dilepaskan, lelaki sama dilihat berlari di atas bumbung, turun dengan satu objek tidak dikenal pasti di tangannya sebelum meninggalkan kawasan kampus.

Hull berkata sepucuk raifal kemudian ditemukan di kawasan berhutan yang dipercayai menjadi laluan masuk Robinson.

Bagaimanapun, peguam bela Robinson, Kathy Nester, mempersoalkan beberapa aspek siasatan termasuk penemuan sekurang-kurangnya satu lagi senjata di kampus pada hari kejadian.

Hull turut mengakui tiada kelongsong peluru ditemukan di atas bumbung berhampiran kawasan yang disyaki menjadi lokasi penembak berbaring.

Pihak pembelaan juga berhujah beberapa saksi memberi gambaran berbeza mengenai suspek di atas bumbung, manakala beberapa individu lain mendakwa seorang lelaki botak memandu kenderaan yang dikaitkan dengan Robinson dalam rakaman keselamatan.

Sepanjang dua hari pertama pendengaran, pasukan pembelaan berulang kali membantah bukti video dan keterangan tertentu, termasuk atas alasan dengar cakap serta dakwaan rakaman telah disunting.

Hakim tidak akan menentukan sama ada Robinson bersalah atau tidak pada peringkat ini, sebaliknya hanya menilai sama ada bukti yang dikemukakan pendakwa raya mencukupi untuk kes itu diteruskan ke perbicaraan.
 

 

Must Watch Video

Advertisement