PRESIDEN Perancis, Emmanuel Macron tiba di Syria pada Isnin, sekali gus menjadi ketua negara Kesatuan Eropah (EU) pertama melawat Damsyik sejak pemerintahan Bashar al-Assad digulingkan oleh kumpulan pemberontak yang kini dipimpin Presiden Ahmed al-Sharaa pada 2024.
Lawatan itu mencerminkan perubahan landskap geopolitik Syria di bawah kepimpinan al-Sharaa, bekas komander Al-Qaeda yang kini menjalinkan hubungan rapat dengan negara-negara Barat dan Asia Barat yang sebelum ini memulaukan pentadbiran Assad.
Sharaa kini berusaha membangunkan semula Syria selepas negara itu musnah akibat konflik yang berlarutan selama 13 tahun.
Macron, yang disambut Menteri Luar Syria, Asaad Al-Shaibani di Lapangan Terbang Damsyik, dijadual menghadiri makan malam rasmi bersama Sharaa sebelum mengadakan beberapa lagi pertemuan pada Selasa.
Usaha membina semula Syria dijangka menjadi agenda utama lawatan tersebut.
Macron turut diiringi beberapa pemimpin syarikat utama Perancis, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies dan syarikat perkapalan CMA CGM.
Selain itu, Macron dijangka menegaskan komitmen Perancis terhadap sebuah Syria yang bebas, bersifat pluralistik serta menghormati semua komuniti di negara itu.
Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dengan rakyat Syria daripada pelbagai latar belakang dan kelompok masyarakat.
Dunia
Presiden Perancis adakan lawatan bersejarah ke Syria
Usaha membina semula Syria dijangka menjadi agenda utama lawatan Macron (gambar) ke negara itu. - Gambar fail/REUTERS