BEIRUT: Presiden Lubnan, Joseph Aoun, mendakwa Israel melakukan pelanggaran hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa menerusi operasi ketenteraan yang berterusan di selatan negara itu.
Kenyataan itu dibuat selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk, di Istana Baabda bagi membincangkan situasi kemanusiaan di kawasan terjejas.
Menurut Aoun, tindakan tentera Israel yang memusnahkan kediaman penduduk awam dan meratakan beberapa perkampungan di selatan Lubnan merupakan pencabulan terhadap undang-undang serta konvensyen antarabangsa.
Beliau turut mendakwa serangan yang mengenai tapak keagamaan, rumah ibadat dan premis warisan bersejarah menunjukkan usaha yang boleh menjejaskan identiti komuniti tempatan di kawasan berkenaan.
Aoun berkata premis dan tapak warisan yang menjadi sasaran serangan itu bukan kawasan ketenteraan serta tidak menempatkan kumpulan bersenjata atau kemudahan persenjataan.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat antarabangsa dan badan berkaitan mengambil tindakan segera bagi menghentikan operasi ketenteraan unilateral oleh Israel di wilayah tersebut.
Bagaimanapun, Aoun menegaskan kerajaan Lubnan akan terus komited melaksanakan Perjanjian Rangka Kerja (Framework Agreement) yang dipersetujui sebelum ini bagi membantu memulihkan kestabilan serantau.
Menurut beliau, tindakan ketenteraan dan pelanggaran syarat perjanjian yang berterusan berisiko menjejaskan pelaksanaan serta keberkesanan inisiatif perdamaian yang sedang diusahakan.