Skip to main content

Dunia

Presiden Iran hargai pendirian Pope Leo bantah tindakan AS

Masoud Pezeshkian & Pope Leo
Pezeshkian (kiri) menyifatkan pendirian ketua gereja Katolik itu sebagai adil dalam mengkritik tindakan AS, yang menurutnya melanggar undang-undang antarabangsa. -Foto fail

TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, mengucapkan penghargaan kepada Pope Leo atas pendirian moral beliau yang membantah tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.

Menurut agensi berita rasmi Iran, Fars, mesej itu disampaikan ketika situasi keselamatan di Asia Barat dilaporkan terus meruncing.

Pezeshkian menyifatkan pendirian ketua gereja Katolik itu sebagai adil dalam mengkritik tindakan AS, yang menurutnya melanggar undang-undang antarabangsa.

Beliau turut mendakwa bahawa serangan udara oleh Washington berlaku ketika rundingan diplomatik di antara Iran dan AS masih berlangsung.

Dalam kenyataan sama, Pezeshkian mengkritik Presiden AS, Donald Trump, susulan kenyataan terdahulu yang mengancam untuk memusnahkan tamadun Iran.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai berbahaya serta mencerminkan pendekatan yang bersifat konfrontasi.

Menurutnya, dasar yang diamalkan oleh AS dan sekutunya dilihat sebagai ancaman kepada keselamatan serantau serta sistem undang-undang antarabangsa.

Sejak konflik tercetus pada penghujung Februari lalu, beberapa infrastruktur di Iran dilaporkan menjadi sasaran serangan udara AS, yang didakwa Washington sebagai tindak balas terhadap tindakan Iran di Selat Hormuz.

Must Watch Video