Skip to main content

Dunia

Polis New York siasat video lelaki keluar masuk sistem pembetungan bandar

X @benny0692698414
Tangkap layar video tular yang menunjukkan beberapa individu keluar dari sistem pembentungan bandar New York.

NEW YORK: Polis New York melancarkan siasatan selepas beberapa rakaman video muncul dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang menunjukkan sekumpulan lelaki memasuki dan keluar dari sistem pembetungan bandar melalui lubang pembetung di jalan raya.

Rakaman daripada kamera pengawasan di kawasan Brooklyn dan Queens menunjukkan individu tidak dikenali membuka penutup lubang pembetung sebelum turun ke dalam sistem bawah tanah dan muncul semula beberapa jam kemudian.

Menurut sumber polis yang dipetik media tempatan, lelaki-lelaki tersebut dipercayai bertindak sebagai “pemburu harta karun” atau peneroka bandar yang mencari barangan berharga yang mungkin terperangkap dalam sistem kumbahan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum dapat memastikan sama ada semua kejadian melibatkan kumpulan yang sama atau insiden berasingan.

Dalam salah satu video yang tular, beberapa individu dilihat mengalihkan penutup lubang pembetung sebelum turun secara bergilir-gilir ke dalam sistem berkenaan.

Mereka dilaporkan muncul kembali beberapa jam kemudian sebelum meninggalkan lokasi.

Kes serupa turut dilaporkan minggu lalu apabila polis menerima aduan mengenai individu tidak dikenali yang melakukan tindakan sama di beberapa lokasi berbeza.

“Individu tersebut kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan yang tidak dikenal pasti ke arah yang tidak diketahui,” menurut kenyataan Jabatan Polis New York (NYPD).

Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan dan tiada tangkapan dibuat, namun siasatan masih diteruskan.

Pihak berkuasa bandar turut memberi amaran tegas mengenai bahaya memasuki sistem pembetungan tanpa kebenaran.

Jurucakap Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (DEP) New York berkata tindakan tersebut adalah menyalahi undang-undang dan amat berbahaya.

“Sistem pembetungan boleh mengandungi pelbagai risiko, termasuk gas beracun yang boleh membawa maut, permukaan tidak stabil, risiko banjir dan ruang tertutup,” katanya.

Tambah beliau, orang awam tidak seharusnya sekali-kali memasuki saluran paip, longkang, atau mana-mana struktur pembetungan.

Siasatan awal menunjukkan motif utama aktiviti tersebut mungkin untuk mencari barang berharga seperti wang, barang kemas atau objek lain yang dipercayai jatuh ke dalam sistem perparitan bandar.

Walaupun setakat ini pihak polis menyatakan tiada ancaman kepada keselamatan awam, individu terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Jika ditangkap, mereka berdepan kemungkinan pertuduhan pecah masuk atau pencerobohan, memandangkan akses ke sistem pembetungan bandar adalah dilarang tanpa kebenaran rasmi.

Pihak NYPD kini sedang meneliti rakaman video serta maklumat awam bagi mengenal pasti suspek dan menentukan skala sebenar aktiviti tersebut.
 

 

Must Watch Video

Advertisement