PUTRAJAYA: Sebarang penyediaan perkhidmatan jagaan kesihatan perlu dilaksanakan di premis berdaftar atau berlesen di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyediaan perkhidmatan jagaan kesihatan di premis tidak berdaftar atau berlesen adalah satu kesalahan di bawah Akta 586 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Terdapat peningkatan aduan dan pertanyaan yang diterima berhubung dakwaan aktiviti rawatan atau perkhidmatan jagaan kesihatan yang dijalankan di premis tidak berdaftar atau tidak berlesen, antaranya yang terkait dengan perkhidmatan perubatan estetik.
“Ditegaskan aktiviti penguatkuasaan Akta 586 akan dilaksanakan dan dipertingkat secara berterusan melalui pendekatan pemantauan, siasatan termasuk pengintipan berasaskan aduan dan tindakan penguatkuasaan berfokus, termasuk memperkukuh koordinasi operasi bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan agensi penguatkuasaan berkaitan,” menurut KKM.
Berdasarkan data KKM bagi tempoh 2021 hingga kini, lebih 1,020 aduan telah diterima berkenaan perkhidmatan jagaan kesihatan yang dijalankan di premis tidak berdaftar atau berlesen dan jumlah itu didapati meningkat setiap tahun.
Peningkatan aduan itu juga menunjukkan kebimbangan orang awam berkaitan perkara itu dan kekhuatiran tentang kelayakan individu yang menyediakan sesuatu perkhidmatan.
“Daripada aduan yang diterima, 320 serbuan telah dilakukan ke atas premis yang tidak berdaftar atau berlesen dan daripada jumlah itu, 126 kertas siasatan dibuka dan 194 kes diberi amaran dan teguran manakala 70 kes sedang atau telah dibawa untuk pendakwaan di mahkamah,” menurut KKM.
KKM juga menggalakkan orang awam dan profesional kesihatan menyalurkan maklumat atau aduan melalui saluran rasmi ([email protected]) agar tindakan susulan dapat diambil secara berhemah dan berasaskan bukti.
Pihak KKM berharap orang awam juga sentiasa cakna kepada nasihat dan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh KKM sebelum ini yang terkait dengan penyediaan perkhidmatan jagaan kesihatan di premis tidak berdaftar atau tidak berlesen.
“KKM juga ingin menekankan sekali lagi bahawa keselamatan pesakit dan orang awam serta kualiti perkhidmatan jagaan kesihatan menjadi keutamaan KKM, yang perlu diambil berat bersama oleh semua pihak,” menurut kementerian itu.
-- BERNAMA