KUALA LUMPUR: Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) mengesahkan akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
BERSAMA menerusi kenyataan memaklumkan keputusan itu dimuktamadkan selepas beberapa perbincangan diadakan pimpinan parti dan ahli terpilih dari seluruh negara.
“PRN Johor 2026 membuka ruang untuk memperkenalkan BERSAMA kepada pengundi Johor walaupun BERSAMA berusia kurang dari sebulan sejak dilancarkan semula pada 17 Mei lepas,” menurut kenyataan itu.
Menurut BERSAMA, penyertaan parti itu dalam PRN Johor 2026 bagi membolehkan parti membina jentera pilihan raya dalam tempoh singkat serta menguji kecekapan dan mengenal pasti kelemahan jentera sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Sejajar dengan hasrat itu, siri jelajah BERSAMA yang dinamakan Jelajah Kancil akan diadakan di beberapa negeri bermula di Johor pada Sabtu ini.
“Siri jelajah dinamakan Jelajah Kancil ini akan memberi tumpuan kepada 12 Agenda BERSAMA dengan setiap negeri menumpukan kepada satu agenda,” menurut kenyataan itu.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada Isnin lepas selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
-- BERNAMA