Skip to main content

Dunia

Penyebaran Ebola di DR Congo ‘membimbangkan’, WHO turun padang ke kawasan terjejas

[TB]_Ebola outbreak WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus_REUTERS
Dr Tedros Adhanom mencuci tangan sebaik tiba di Lapangan Terbang Nasional Bunia bagi menyelaras usaha menangani wabak Ebola. - Foto REUTERS

BUNIA: Penyebaran pantas wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DR Congo) kini berada pada tahap “sangat membimbangkan”, menurut organisasi perubatan antarabangsa Medecins Sans Frontieres (MSF), ketika Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melawat kawasan paling terjejas di timur negara itu.

Timbalan Pengarah MSF, Dr Alan Gonzales berkata, hanya dua minggu selepas wabak itu diisytiharkan, jumlah kes yang direkodkan meningkat dengan begitu cepat sehingga ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Situasi ini sangat membimbangkan. Tidak pernah sebelum ini wabak Ebola merekodkan begitu banyak kes dalam tempoh yang begitu singkat selepas ia diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut angka terkini, lebih 1,000 kes disyaki Ebola telah dilaporkan di DR Congo dengan sekurang-kurangnya 246 kematian, manakala negara jiran Uganda turut merekodkan sembilan kes disahkan dan satu kematian.

Ketua WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, tiba di wilayah Ituri, pusat penularan wabak, bagi menilai situasi dan menyelaraskan usaha pembendungan virus di lapangan.

Beliau berkata lawatan itu bertujuan melihat keberkesanan tindak balas semasa serta mengenal pasti cabaran yang dihadapi dalam usaha mengawal penularan penyakit tersebut.

MSF memberi amaran bahawa kadar tindak balas terhadap wabak itu masih belum setanding dengan kelajuan penyebaran virus.

Menurut Gonzales, keadaan sebenar wabak tersebut masih belum diketahui sepenuhnya kerana kes baharu dilaporkan setiap hari, sementara ratusan sampel masih belum diuji.

Beliau turut mendedahkan bahawa usaha pembendungan dan pengagihan bantuan kemanusiaan kini berdepan kekangan besar, termasuk penutupan sempadan dan lapangan terbang yang melambatkan kemasukan bekalan serta tenaga pakar.

WHO sebelum ini turut memberi amaran bahawa konflik berterusan di timur DR Congo menjejaskan secara serius usaha memerangi wabak, termasuk menyukarkan pengesanan kontak dan rawatan pesakit.

Dalam lawatannya ke Bunia, ibu negeri wilayah Ituri, Tedros menekankan kepentingan penglibatan komuniti setempat dalam memerangi Ebola.

Beliau berkata masyarakat tempatan lebih memahami cabaran yang dihadapi dan berpotensi memainkan peranan penting dalam menghentikan rantaian jangkitan.

Bagaimanapun, Tedros turut mengingatkan tentang risiko penularan melalui amalan tradisional, khususnya ketika pengurusan mayat.

“Amalan tertentu seperti menyentuh mayat mangsa Ebola boleh menyebarkan virus dengan lebih cepat. Walaupun kita berduka, kita mesti mengelakkan kehilangan nyawa yang lebih banyak,” katanya.

Walaupun wabak semakin serius, kehidupan harian di Bunia dilaporkan masih berjalan seperti biasa dengan penduduk terus menjalankan aktiviti harian seperti berniaga dan bergerak bebas.

Namun, langkah pencegahan mula dilaksanakan termasuk penyediaan stesen mencuci tangan di lapangan terbang serta penyebaran maklumat kesihatan awam melalui radio dan televisyen dalam bahasa tempatan dan bahasa Perancis.

Kemudahan makmal tempatan kini mampu memproses sampel dalam tempoh 24 jam, berbanding sebelum ini yang memerlukan penghantaran ke ibu negara Kinshasa sejauh lebih 1,500 kilometer, sekali gus mempercepatkan pengesanan dan rawatan pesakit.

Wabak Ebola kali ini disebabkan oleh strain jarang dikenali sebagai Bundibugyo, yang lebih mencabar kerana tiada vaksin atau rawatan khusus yang diluluskan setakat ini.

Penyakit itu telah mula merebak ke luar negara apabila kes turut dikesan di Uganda, menimbulkan kebimbangan mengenai penularan rentas sempadan.

Dalam perkembangan berasingan, pihak berkuasa kesihatan Brazil sedang menyiasat satu kes disyaki Ebola melibatkan seorang lelaki yang baru pulang dari DR Congo dan kini dikuarantin di hospital di Sao Paulo.

Ebola merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair badan pesakit seperti darah, air liur dan peluh, serta objek tercemar.

Penyakit ini mempunyai kadar kematian tinggi, dianggarkan sekitar satu pertiga daripada jumlah jangkitan bagi strain Bundibugyo.

Dengan wabak yang terus berkembang dan kekangan operasi di lapangan, pakar kesihatan memberi amaran bahawa tanpa tindakan segera dan koordinasi lebih agresif, situasi di DR Congo berpotensi menjadi krisis kesihatan yang lebih besar di rantau Afrika Tengah.
 

 

Must Watch Video

Advertisement