Skip to main content

Dunia

Lubnan tuduh Israel laksana ‘dasar bumi hangus’ di selatan negara

Smoke billows from southern Lebanon, following Israeli strikes, as seen from Nabatieh, Lebanon, May 30, 2026. REUTERS/ Stringer
Asap tebal kelihatan dari selatan Lubnan dari kawasan Nabatieh susulan serangan Israel pada 30 Mei 2026. - Gambar Reuters

BEIRUT: Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam menuduh Israel melaksanakan “dasar bumi hangus” di selatan negara itu susulan siri serangan udara terbaharu yang mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan konflik. 

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung, beliau mendakwa, operasi ketenteraan Israel bukan sahaja menyasarkan kumpulan bersenjata, tetapi turut memusnahkan bandar dan kampung serta memaksa penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Menurut Salam, tindakan tersebut disifatkan sebagai satu bentuk hukuman kolektif yang tidak akan membawa kepada keselamatan atau kestabilan jangka panjang, sebaliknya berisiko menambah ketegangan di rantau itu.

Kenyataan itu dibuat ketika Israel dilaporkan meningkatkan operasi ketenteraan di selatan Lubnan, termasuk melancarkan serangan udara baharu dan mengeluarkan arahan pemindahan melibatkan beberapa kawasan.

Perkembangan tersebut berlaku sehari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan tenteranya semakin mara ke dalam wilayah Lubnan, sekali gus menandakan peningkatan konflik yang disifatkan sebagai berbahaya.

Dalam pada itu, Salam menggesa pelaksanaan gencatan senjata segera dan menyeluruh bagi meredakan keadaan, sambil menegaskan penyelesaian diplomatik kekal sebagai pilihan terbaik meskipun tidak menjamin hasil yang diharapkan.

Untuk rekod, gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran sebelum ini diumumkan pada April, namun keganasan masih berterusan apabila kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Lubnan memaklumkan, beberapa serangan terbaharu di selatan negara itu turut mengakibatkan kecederaan kepada anggota tenteranya, selain kerosakan terhadap infrastruktur awam. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement