Skip to main content

Dunia

Penghantaran air ke Gaza ancam nyawa petugas kemanusiaan - PBB

41748601965_GazaPalestin.jpg
Penghantaran menggunakan lori tangki terpaksa dilakukan selepas saluran paip yang sepatutnya membekalkan air dengan selamat dimusnahkan Israel. - Gambar fail

TRENTON (KANADA): Usaha menyalurkan bekalan air kepada penduduk Gaza kini berdepan risiko terbunuh selepas serangan Israel memusnahkan saluran paip dan merosakkan kemudahan air, sekali gus memaksa penghantaran dilakukan menggunakan lori tangki, lapor Anadolu Ajansi memetik media Kanada pada Selasa.

Dua pemandu lori Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) terbunuh pada April ketika cuba menghantar air ke stesen pengisian air di utara Gaza.

Penghantaran menggunakan lori tangki terpaksa dilakukan selepas saluran paip yang sepatutnya membekalkan air dengan selamat dimusnahkan Israel.

Serangan berkenaan turut mengancam kelangsungan hidup penduduk di wilayah itu.

“Keadaan di lapangan amat mengerikan. 

“Kami hanya meminta supaya keperluan asas kemanusiaan dipenuhi menerusi usaha pemulihan dan pembaikan beberapa sistem ini,” kata Ketua UNICEF bagi wilayah Palestin Jonathan Veitch kepada Canadian Press.

Veitch berkata kemusnahan saluran paip menyebabkan petugas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terpaksa menghantar air menggunakan lori tangki, yang menelan kos tinggi dari segi kewangan dan nyawa manusia.

“Kami terpaksa meneruskan penghantaran air menggunakan lori tangki setiap hari, yang amat mahal dan membebankan pembayar cukai Kanada serta pihak lain.

“Masalah ini sebenarnya boleh ditangani dengan mudah sekiranya peralatan yang diperlukan dibenarkan masuk bagi membaiki saluran paip, mengurangkan kebocoran serta menghidupkan semula beberapa stesen pam yang rosak atau musnah akibat perang,” kata beliau. 

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement