Skip to main content

Malaysia

TDM pastikan Truper Abdul Hamid dapat rawatan terbaik, terima bantuan sewajarnya

https://www.sinarharian.com.my/article/789876/berita/nasional/tentera-darat-nafi-abai-kebajikan-komando-abdul-hamid
Abdul Hamid, 25, anggota Grup Gerak Khas daripada Rejimen 22 Komando mengalami kecederaan parah termasuk retak tengkorak di Kem Iskandar, Mersing sehingga menyebabkan beliau berada dalam keadaan vegetatif.

KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan memastikan Truper Abdul Hamid Talib yang mengalami kecederaan parah ketika berada di Kem Iskandar, Mersing, Johor mendapat rawatan terbaik dan menerima bantuan kebajikan sewajarnya.

TDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan sejak insiden yang berlaku 12 Mac 2026, Abdul Hamid telah menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sebelum dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan dan seterusnya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi rawatan serta rehabilitasi lanjut.

“Kebajikan anggota sentiasa menjadi keutamaan TDM. Sejak kejadian, pelbagai bentuk bantuan dan sokongan telah disalurkan kepada anggota serta keluarganya.

“Lawatan kebajikan turut dilaksanakan secara berterusan oleh pelbagai peringkat pemerintahan bagi memantau perkembangan kesihatan anggota dan memastikan kebajikannya sentiasa terpelihara. Ini termasuklah persediaan anggota untuk menjalani penjagaan di rumah selepas discaj nanti,” menurut kenyataan itu.

TDM mengeluarkan kenyataan itu susulan laporan media pada 27 Julai lepas berhubung dakwaan pengabaian kebajikan Abdul Hamid.

Menurut kenyataan itu, dari aspek perundangan, siasatan dalaman TDM berkenaan insiden di kem itu telah selesai dilaksanakan dan tindakan sewajarnya telah diambil terhadap pelaku mengikut peruntukan yang berkuat kuasa dan proses pemberhentian perkhidmatan sedang dilaksanakan.

Pada masa yang sama, TDM memaklumkan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah selesai dan sebarang tindakan lanjut adalah tertakluk kepada proses perundangan.

Sementara itu, TDM menghormati hak semua pihak untuk mendapatkan maklumat namun menyeru agar sebarang kenyataan perlu dibuat berdasarkan fakta sahih bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga sensitiviti anggota dan keluarganya.

“TDM kekal komited untuk terus memberikan perhatian terhadap kes kebajikan anggota serta akan menyalurkan bantuan mengikut keperluan dan peruntukan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Abdul Hamid, 25, anggota Grup Gerak Khas daripada Rejimen 22 Komando mengalami kecederaan parah termasuk retak tengkorak di Kem Iskandar, Mersing sehingga menyebabkan beliau berada dalam keadaan vegetatif.

Susulan kejadian itu, PDRM merampas rotan berukuran 72 sentimeter dan menahan dua anggota tentera berusia 24 tahun dari kem sama.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement