Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Laporan RCI Tabung Haji didedah hari ini, siasatan penuh diteruskan - Fahmi

Fahmi Fadzil Sidang Media
Fahmi berkata Jemaah Menteri turut memutuskan supaya siasatan penuh oleh badan-badan penguatkuasaan diteruskan serta-merta berdasarkan dapatan Laporan RCI itu. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 akan didedahkan hari ini kepada umum, dan dibuat pengelasan semula.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH serta memperhalusi kandungan laporan berkenaan dalam mesyuarat hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata laporan itu turut akan dibentangkan dan dibahaskan dalam satu sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

"Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa Laporan ini telah menggariskan 25 syor tindakan penambahbaikan, dan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan 75 peratus dari syor tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Fahmi menambah, Jemaah Menteri turut memutuskan supaya siasatan penuh oleh badan-badan penguatkuasaan diteruskan serta-merta berdasarkan dapatan Laporan RCI itu.

Beliau berkata mana-mana pihak yang didapati melakukan pelanggaran undang-undang akan dibawa ke muka pengadilan.

Selain itu, Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa TH telah mengumumkan kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, katanya.

"Ia sekali gus menunjukkan pengurusannya kini berada dalam keadaan lebih baik," katanya.

Khamis lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.

Anwar berkata beliau akan meneliti keputusan untuk menerbitkan laporan itu bersama Ketua Setiausaha Negara, yang dijangka selewat-lewatnya pada Rabu ini.
 

Must Watch Video

Advertisement