PARIS: Muzium milik pembuat barangan kaca mewah Perancis, Lalique, di timur laut negara itu menjadi sasaran pencuri yang melarikan barang kemas bernilai hampir 4 juta euro (AS$4.57 juta) pada pagi Ahad, lapor akhbar harian Perancis Le Parisien yang memetik sumber yang mengetahui siasatan itu, menurut Anadolu Ajansi.
Menurut laporan itu, beberapa suspek bertopeng memecah masuk melalui pintu, memecahkan enam peti pameran dan melarikan 20 barang kemas kristal.
Muzium itu akan ditutup dalam beberapa hari akan datang bagi membolehkan pihak berkuasa menilai kerosakan dan memperkukuh aspek keselamatan, menurut laporan berkenaan.
"Pasukan gendarmerie telah bertindak, dan siasatan akan diteruskan mengikut prosedur," menurut pihak muzium dalam satu kenyataan di platform media sosial X.
Datuk Bandar Wingen-sur-Moder, Christian Dorschner, memberitahu akhbar wilayah Dernieres Nouvelles d'Alsace bahawa pencuri berkenaan dipercayai "mempunyai maklumat lengkap" kerana mereka terus menuju ke koleksi barang kemas. Beliau berkata sistem penggera muzium berfungsi dengan baik, namun syarikat keselamatan gagal segera memaklumkan kejadian itu kepada polis.
Pihak berkuasa sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), manakala siasatan telah diserahkan kepada unit siasatan jenayah pasukan gendarmerie Bas-Rhin.
Le Parisien melaporkan muzium itu telah dimasukkan dalam senarai premis berisiko dan berada di bawah "pemantauan khas" susulan kejadian rompakan permata berprofil tinggi di Muzium Louvre pada Oktober 2025, yang menyaksikan pencuri melarikan barangan bernilai kira-kira AS$102 juta.
-- BERNAMA-ANADOLU