Skip to main content

Dunia

Pencuri larikan barang kemas bernilai hampir 4 juta euro dari Muzium Lalique

Lalique Museum
Muzium Lalique akan ditutup dalam beberapa hari akan datang bagi membolehkan pihak berkuasa menilai kerosakan serta memperkukuh aspek keselamatan. - Gambar Facebook

ISTANBUL: Muzium milik pengeluar barangan kaca mewah Perancis, Lalique, di timur laut Perancis menjadi sasaran pencuri yang melarikan barang kemas bernilai hampir 4 juta euro (AS$4.57 juta) pada pagi Ahad, lapor akhbar harian Perancis Le Parisien yang memetik sumber yang mengetahui siasatan itu, menurut Anadolu Ajansi.

Beberapa suspek bertopeng memecahkan pintu muzium, memusnahkan enam kabinet pameran sebelum melarikan 20 barangan kemas kristal, menurut laporan itu.

Muzium berkenaan akan ditutup dalam beberapa hari akan datang bagi membolehkan pihak berkuasa menilai kerosakan serta memperkukuh aspek keselamatan.

"Pasukan gendarmeri telah digerakkan dan siasatan akan diteruskan mengikut prosedur," menurut kenyataan muzium itu di platform media sosial X.

Datuk Bandar Wingen-sur-Moder, Christian Dorschner memberitahu akhbar wilayah Dernieres Nouvelles d'Alsace bahawa pencuri terbabit dipercayai mempunyai maklumat lengkap kerana mereka terus menuju ke koleksi barang kemas.

Beliau berkata, sistem penggera muzium berfungsi dengan baik, namun syarikat keselamatan gagal memaklumkan kejadian itu kepada polis dengan segera.

Pihak berkuasa sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), manakala siasatan dikendalikan oleh unit siasatan jenayah pasukan gendarmeri Bas-Rhin.

Le Parisien melaporkan, muzium itu telah disenaraikan sebagai lokasi yang menempatkan objek berisiko dan berada di bawah "pemantauan khas" susulan rompakan permata berprofil tinggi di Muzium Louvre pada Oktober 2025, yang menyaksikan barangan bernilai kira-kira AS$102 juta dilarikan pencuri.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement