RAMALLAH: Kelulusan Israel untuk membina sebuah kompleks pertahanan baharu di tapak bekas ibu pejabat Agensi Kerja dan Bantuan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Baitulmuqaddis Timur merupakan “pelanggaran serius undang-undang antarabangsa,” menurut Kementerian Luar Palestin pada Isnin, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan media, kementerian itu menyatakan bahawa tindakan menukar ibu pejabat UNRWA kepada pepasangan tentera dan keselamatan Israel “mewakili duluan berbahaya yang mengancam sistem perundangan antarabangsa serta secara langsung menjejaskan asas perundangan yang mengawal selia operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), institusinya dan kekebalan mereka di wilayah yang diduduki.”
Menurut kementerian itu, pembinaan kemudahan Israel di atas runtuhan ibu pejabat UNRWA mencerminkan dasar mewujudkan realiti baharu secara paksaan, selain membawa implikasi serius.
Rancangan untuk membina kompleks pertahanan baharu itu, yang merangkumi muzium tentera Israel, pejabat pengambilan anggota dan pejabat menteri pertahanan, diluluskan oleh Kabinet Israel pada Ahad, menurut media Israel.
Pada Januari, Israel merobohkan beberapa bangunan di dalam kawasan ibu pejabat UNRWA selepas merampas tapak itu pada penghujung 2025, satu tindakan yang dikecam oleh agensi itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Israel menganggap keseluruhan Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya, satu dakwaan yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa, manakala PBB menganggap Baitulmuqaddis Timur sebagai wilayah yang diduduki.
-- BERNAMA-XINHUA