ISLAMABAD: Pakistan dan India pada Rabu bertukar senarai terkini tahanan yang ditahan di negara masing-masing menerusi saluran diplomatik di bawah perjanjian dua hala mengenai akses konsular, menurut Kementerian Luar Pakistan (MOFA), lapor Xinhua.
Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan pertukaran senarai berkenaan dilaksanakan mengikut Perjanjian Akses Konsular yang ditandatangani pada 21 Mei 2008, yang mewajibkan kedua-dua negara berkongsi senarai itu dua kali setahun, iaitu pada 1 Jan dan 1 Julai.
Pakistan menyerahkan senarai 250 tahanan warga India yang berada dalam tahanannya kepada Suruhanjaya Tinggi India di Islamabad, termasuk 198 nelayan.
India pula menyerahkan senarai 439 tahanan Pakistan atau yang dipercayai warga Pakistan yang ditahan di penjara negara itu, terdiri daripada 386 tahanan awam dan 53 nelayan, menurut kementerian itu.
-- BERNAMA-XINHUA